Sekolah di Pulau Pinang dapat rebat air

Kon Yeow
Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengarahkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) untuk menawarkan rebat tarif air kepada sekolah berdaftar di Pulau Pinang untuk penggunaan air bukan domestik.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, semua sekolah berdaftar di Pulau Pinang (kerajaan, swasta, antarabangsa, kolej, sekolah agama dan tadika) boleh memohon rebat yang diberikan.

Menurutnya, rebat 30 peratus untuk bil air sekolah adalah untuk penggunaan bukan domestik di Pulau Pinang diberikan selama enam bulan pada tahun ini.

"Tempoh sah adalah dari April hingga September 2023 dan pentadbir sekolah mesti memohon rebat daripada PBAPP sebelum 30 September.

"Kerajaan Negeri Pulau Pinang membuat keputusan ini sebagai tanda muhibah untuk mengekalkan dan menyokong hubungan baik dengan 1,712 sekolah di Pulau Pinang yang menyediakan pendidikan rendah dan menengah kepada beribu-ribu anak muda Pulau Pinang setiap hari," katanya menerusi kenyataan di sini,

Kon Yeow yang juga Pengerusi PBAPP berkata, Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Kadar Perkhidmatan Bekalan Air) (Negeri Pulau Pinang) (Pindaan) 2022 telah diwartakan pada 29 Julai tahun lalu.

Katanya, peraturan Persekutuan ini menyemak tarif untuk penggunaan air bukan domestik dan dengan jelas menyatakan penggunaan air di sekolah mesti dibilkan sebagai penggunaan bukan domestik.

Jelasnya, Peraturan Persekutuan yang serupa turut diwartakan serentak pada 29 Julai 2022 untuk pelaksanaan di Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Terengganu dan WP Labuan.

"Oleh itu, jelas Kerajaan Persekutuan (sebelum ini) telah mewartakan tarif air baharu untuk penggunaan bukan domestik bukan sahaja untuk Pulau Pinang, tetapi untuk semua negeri di Semenanjung Malaysia dan Labuan pada 29 Julai lepas.

"Ia juga jelas bahawa Kerajaan Persekutuan (sebelum ini) yang telah menetapkan dan meluluskan peraturan yang mentakrifkan penggunaan air di sekolah sebagai penggunaan bukan domestik, dan bukannya PBAPP atau Kerajaan Negeri Pulau Pinang," katanya.

Kon Yeow berkata, dengan mengambil kira maklum balas oleh pihak berkuasa sekolah, PBAPP bersetuju untuk menanggung kos rebat enam bulan untuk sekolah-sekolah sebagai satu lagi aspek komitmen tanggungjawab sosial korporatnya kepada Pulau Pinang.

Katanya, unjuran jumlah kos rebat ini ialah RM2.1 juta.