Hati-hati 'koronavirus versi komputer'!

Penyelidik kini sedang berusaha menghasilkan vaksin untuk merawat koronavirus tersebut yang telah meragut lebih 250 nyawa. - FOTO: AGENSI
Penyelidik kini sedang berusaha menghasilkan vaksin untuk merawat koronavirus tersebut yang telah meragut lebih 250 nyawa. - FOTO: AGENSI
A
A
A

SINGAPURA - Penjenayah siber didakwa mengambil kesempatan terhadap situasi serangan wabak koronavirus untuk menjalankan aktiviti berniat jahat, menurut Pasukan Respons Kecemasan Komputer Singapura (SingCERT) seperti dilaporkan CNA semalam.

SingCERT memaklumkan penjenayah terbabit akan menghantar e-mel dan mesej untuk menarik pengguna membuka lampiran berniat jahat yang kononnya menawarkan maklumat berkaitan dengan wabak membawa maut tersebut.

“Ia disembunyikan di bawah pautan, PDF, MP4 atau Docx dengan pautan atau nama fail berkaitan dengan situasi koronavirus seperti bagaimana mahu melindungi diri anda daripada virus tersebut, kemas kini ancaman atau prosedur pengesanan virus.

“Fail terbabit sebenarnya mengandungi virus komputer seperti Trojan dan cecacing yang berupaya memusnahkan, menyekat, mengubah suai atau meniru data serta mengganggu operasi komputer dan rangkaiannya apabila pengguna menekan pautan atau membuka lampiran yang dihantar,” jelasnya.

Terdahulu, syarikat keselamatan siber global, Kaspersky juga memberi amaran tentang ancaman aktiviti siber yang menggunakan situasi koronavirus.

Penganalisis malware, Anton Ivanov berkata, koronavirus yang telah menjadi topik perbincangan secara meluas kini digunakan sebagai umpan oleh penjenayah siber. - Agensi

Artikel Berkaitan: