'Azizulhasni tidak berniat jahat' - Amarjit

Laporan Sukan Sinar pada Jumaat. (Gambar kecil: Amarjit Singh)
Laporan Sukan Sinar pada Jumaat. (Gambar kecil: Amarjit Singh)
A
A
A

PERSEKUTUAN Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) bersedia menjadi pendamai bagi menyelesaikan isu membabitkan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dengan Majlis Sukan Negara (MSN).

Naib Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill berkata, pihaknya tidak mahu kemelut yang berlaku itu berlarutan sehingga menjejaskan persiapan Azizulhasni menjelang Sukan Olimpik Paris 2024.

“Selagi boleh dan mampu, kami di PKBM akan membantu menyelesaikan masalah yang berlaku ini. Kedua-dua pihak harus duduk semeja bagi membincangkan masalah yang timbul.

“Baik Azizulhasni mahpun MSN, kedua-dua belah pihak harus berbincang dengan hati terbuka. Saya percaya setiap masalah boleh diatasi dengan adanya perbincangan yang baik.

“Isu yang timbul adalah antara Azizulhasni dan MSN, ia secara tak langsung tidak membabitkan PKBM. Tetapi kami sedia menjadi pendamai bagi menyelesaikan masalah ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Pada Khamis, Azizulhasni meluahkan kekecewaannya terhadap MSN yang masih gagal menyediakan sistem sokongan lengkap sebagai persiapan menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024.

Menerusi luahan di laman sosial Facebook miliknya pada Khamis, Azizulhasni nyata terkilan kerana sistem sokongan sukan di Malaysia dilihat belum setara dengan pangkalan latihan sebelum ini di Melbourne, Australia.

Malah, Azizulhasni yang mendapat julukan The Pocket Rocketman turut mendedahkan mengenai isu kelewatan bayaran elaun ketika berpangkalan di Melbourne.

Ketika ditanya sama ada PKBM atau beliau sendiri sudah mengetuai masalah yang dihadapi Azizulhasni, Amarjit menjawab; “Secara peribadi saya memang tidak tahu apa-apa berkaitan hal ini.

“Seperti yang dimaklumkan Azizulhasni, beliau sudah berbincang dengan pihak MSN. Tetapi saya tahu Azizulhasni juga sudah membangkitkan hal ini kepada (Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris) Datuk Hamidin (Mohd Amin) baru-baru ini,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Amarjit menganggap apa yang diluahkan Azizulhasni itu tidak mempunyai sebarang niat jahat, sebaliknya lebih kepada berkongsi rasa kecewa yang dipendamnya selama ini.

“Saya percaya apa yang dilakukan Azizulhasni bukan mahu memburukkan nama MSN, cuma beliau mahu berkongsi isi hatinya dengan apa yang berlaku sejak berlatih di Malaysia.

“Di pihak MSN pula, saya percaya mereka juga ada beberapa kekangan. Selama ini MSN banyak membantu PKBM, bukan sahaja berbasikal, malahan sukan lain.

“Jadi diharapkan kita semua akan mendapat jalan penyelesaian terbaik antara kedua-dua belah pihak. Perkara ini juga sudah dibawa ke Jawatankuasa Road to Gold (RTG) untuk diambil perhatian,” jelasnya.