'Banding Mahathir dengan saya berniat jahat' - Anwar

Anwar Ibrahim (kiri), Awang Solahuddin Hashim (kanan).
Anwar Ibrahim (kiri), Awang Solahuddin Hashim (kanan).
A
A
A

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa, kenyataan Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Solahuddin Hashim berhubung kenyataan fitnah menerusi artikel bertajuk ‘MP Pas: Sikap pendendam Anwar lebih teruk daripada Mahathir’ menunjukkan ia didorong niat jahat.

Menerusi jawapan kepada pembelaan yang difailkannya di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, tindakan Awang mengungkap istilah zalim dan membuat perbandingan dirinya dengan Mahathir jelas menunjukkan kenyataan fitnah.

Menteri Kewangan berusia 76 tahun ini berkata, Awang selaku defendan tidak wajar untuk merujuknya dengan bekas Ahli Parlimen Langkawi itu kerana ia bukan relevan, logik atau boleh dipertahankan.

“Semua rujukan kepada Mahathir tidak sepatutnya dibuat oleh defendan kerana tindakannya telah memburukkan keadaan, maka saya berhak untuk mendapatkan ganti rugi yang substantif.

“Defendan sengaja memfitnah, walaupun saya sudah menafikannya secara terbuka,” katanya yang juga selaku plaintif.

Secara realiti, Anwar berkata, selaku pemimpin negara, beliau tiada pernah mencampuri tugas agensi penguatkuasaan termasuk di peringkat Jabatan Peguam Negara.

Beliau menegaskan bahawa, penyiasatan dan pendakwaan oleh agensi penguatkuasaan adalah adil, bebas dan saksama tanpa rasa takut atau pilih kasih serta beliau tidak pernah campur tangan berhubung perkara itu.

Ahli Parlimen Tambun berkata, defendan sengaja berniat mencaci dan menuduhnya mengamalkan penyiasatan serta pendakwaan terpilih sehingga menyebabkan kesan fitnah yang lebih teruk.

Pada 3 Mac lalu, Anwar memfailkan saman terhadap Awang berhubung kenyataan berbaur fitnah terhadap Perdana Menteri itu di lobi Parlimen.

Pemimpin PKR itu memfailkan saman menerusi Tetuan SN Nair & Partners di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Awang sebagai defendan tunggal.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Anwar mendakwa defendan membuat beberapa kenyataan yang merujuk kepadanya di lobi Dewan Rakyat, bangunan Parlimen di sini, semasa Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15, pada 21 Februari lepas.

Beliau berkata, kenyataan tersebut telah diterbitkan semula atau menyebabkan penerbitan semula oleh defendan kepada pemberita, yang terakam dalam bentuk audio dan video.

Sementara itu, pada 4 April lalu, Awang membalas pernyataan pembelaan saman itu dengan menyatakan bahawa, pertuduhan jenayah terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan bercanggah dengan dakwaan Anwar bahawa beliau tidak mengamalkan politik dendam.

Awang mendakwa, pertuduhan kes jenayah itu berlaku selepas Anwar menyatakan pada tahun lalu bahawa dana untuk skim Jana Wibawa disalahgunakan.

Pemimpin Pas itu berkata, Anwar juga berhenti membuat ulasan terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam skandal projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) selepas Presiden UMNO itu menjadi Timbalan Perdana Menteri dalam kerajaan Perpaduan.

Beliau mendakwa, plaintif ketika dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan salah guna kuasa sekitar 1998, terus memulakan Gerakan Reformasi yang menggelar Mahathir sebagai zalim.

Jika dibandingkan tindakan kontroversi yang dibuat oleh kerajaan Dr Mahathir ketika itu, Awang berkata, kerajaan plaintif ketika ini, jelas menunjukkan bahawa dari segi jangka masa, kerajaan Mahathir melakukan Operasi Lalang hanya enam tahun selepas dilantik sebagai Perdana Menteri.

Sedangkan pertuduhan terhadap seteru politik dibuat katanya, dibuat plaintif dalam tempoh tiga bulan selepas dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Perbandingan ini yang dirujuk oleh saya dalam menyatakan pandangan atau telahan bahawa plaintif dalam aspek jangka masa pendakwaan dibuat terhadap lawan politik daripada tarikh pelantikan, adalah 'lebih buruk' atau 'paling buruk' dalam sejarah Malaysia, mengatasi Mahathir.

“Saya tidak bermaksud untuk membandingkan plaintif dengan Mahathir dari aspek lain yang tidak berkait dengan pendakwaan politik yang sedang diperkatakan oleh saya dalam kenyataan (di lobi Parlimen),” katanya.