GMP mahu mencelah isu hak milik kekal tanah

Norali (duduk, dua dari kanan) menunjukkan kenyataan media GMP mengenai isu pemberian hak milik kekal tanah kampung baharu ketika sidang media di Taman Ipoh di sini hari ini.
Norali (duduk, dua dari kanan) menunjukkan kenyataan media GMP mengenai isu pemberian hak milik kekal tanah kampung baharu ketika sidang media di Taman Ipoh di sini hari ini.
A
A
A

IPOH - Gagasan Melayu Perak (GMP) memasukkan permohonan mencelah sebagai plaintif dalam kes saman seorang rakyat Perak, Aswannudin Hariffudin terhadap kerajaan Perak berkaitan pemberian hak milik kekal tanah kampung baharu.

Timbalan Presidennya, Norali Nordin berkata, permohonan tersebut dibuat dengan tujuan sama iaitu mendapatkan deklarasi menghalang Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak meluluskan cadangan pemberian tanah secara hak milik kekal kepada penduduk kampung baharu.

Menurutnya, keputusan itu dibuat setelah penelitian dibuat oleh Biro Undang-Undang GMP bahawa mereka mempunyai hak dari sudut perundangan untuk berbuat demikian.

"Untuk pengetahuan, GMP pernah memulakan prosiding mahkamah demi untuk mengisytiharkan keputusan kerajaan Perak sekitar tahun 2008 atas isu sama adalah bertentangan dengan peruntukan perundangan negara terutamanya Perlembagaan Persekutuan dan Kanun Tanah Negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan Perak berdepan saman

"GMP ingin menegaskan bahawa kami berpendapat pemberian tanah secara pegangan hak milik kekal (freehold) dan pegangan hak milik selama-lamanya (in-perpetuity) adalah amalan pentadbiran British semasa era penjajahan," katanya kepada pemberita ketika sidang media di Pejabat Tetuan Norali & Co, Taman Ipoh di sini.

Norali berkata, selepas negara merdeka, kerajaan Persekutuan diberi kuasa dalam Perkara 91 Perlembagaan Persekutuan untuk menubuhkan Majlis Tanah Negara (MTN).

Katanya, dalam peruntukan tersebut jelas membuktikan bahawa MTN mempunyai kuasa membuat dasar bagi mentadbir segala undang-undang yang berkaitan dengan hal pemilikan tanah di Malaysia.

"Sebagai agensi persekutuan, segala dasar MTN hendaklah dipatuhi oleh kerajaan-kerajaan negeri bagi memastikan keseragaman undang-undang dicapai di dalam memberikan keadilan yang saksama kepada rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Pelanggaran dasar MTN oleh kerajaan negeri boleh mengakibatkan negeri Perak dianggap sebagai sebuah negeri 'koboi' yang tidak tahu menghormati keluhuran perlembagaan," katanya.

Dalam pada itu, pencelahan sebagai plaintif itu akan turut disertai beberapa NGO lain dan pengurusan kes tersebut dijadual berlangsung pada 15 Februari di Mahkamah Tinggi Ipoh, di sini.

Pada 15 Januari lalu, kerajaan Perak berdepan saman pemula bagi menghalang pelaksanaan pemberian hak milik kekal tanah selama 999 tahun di negeri ini.

Sebelum ini, polemik mengenai pemberian hak milik kekal bagi kampung baharu tercetus apabila Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming ketika Konvensyen DAP Perak mendesak Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menunaikan janji pilihanraya untuk melaksanakan pemberian hak milik kekal itu sebelum Tahun Baru Cina.

Kemudian, Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad menyifatkan pemberian hak milik kekal tanah itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan melanggar ketetapan Mesyuarat Majlis Tanah Negara ke-73.

Bagaimanapun DAP Perak menerusi Naib Pengerusinya, Dr Abdul Aziz Bari meminta Saarani mengemukakan bukti terdapat peruntukan undang-undang yang melarang hak milik kekal diberikan kepada rakyat.