Kerajaan Perak berdepan saman

Aswannudin (kiri) menyerahkan salinan saman pemula dan dokumen berkaitan kepada Mohd Jaffrey di hadapan pintu masuk Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Aswannudin (kiri) menyerahkan salinan saman pemula dan dokumen berkaitan kepada Mohd Jaffrey di hadapan pintu masuk Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak berdepan saman pemula bagi menghalang pelaksanaan pemberian hak milik kekal tanah selama 999 tahun di negeri ini.

Salinan saman pemula tersebut dikemukakan Presiden Majlis Belia Negeri (MBN) Perak, Aswannudin Hariffudin hari ini kepada Pejabat Menteri Besar Perak selepas memfailkannya di Mahkamah Sivil Ipoh semalam melalui peguam, K Jeyaraj.

Aswannudin bagaimanapun berkata, tindakan saman tersebut dibuat secara peribadi dan tidak melibatkan mana-mana organisasi.

"Saya berbuat demikian bagi mendesak kerajaan supaya tidak terburu-buru dan membuat kajian secara teliti mengenai pemberian hak milik kekal yang dijanjikan menerusi manifesto Pakatan Harapan (PH) Perak.

"Kerajaan negeri wajib menerangkan kepada rakyat Perak secara telus dan jelas apakah kriteria mereka yang layak menerima tanah ini dan berapa puluh, ratus, ribu atau puluh ribu lot hak milik kekal ini sebenarnya?" katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di hadapan Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Beliau menyerahkan salinan saman pemula, afidavit, resit pemfailan dan dokumen berkaitan kepada Pegawai Khas Menteri Besar Perak, Mohd Jaffrey Mohd Zainol di hadapan pintu masuk Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Menurutnya, pemberian hak milik tanah kekal tersebut seakan-akan menjadi keutamaan kerajaan negeri ketika ini sedangkan banyak lagi perkara di dalam manifesto PH yang perlu diberikan keutamaan.

Aswannudin berkata, pihaknya bimbang pemberian hak milik kekal tanah itu akan menyebabkan peluang untuk anak muda memiliki rumah tidak tercapai kerana secara tidak langsung kadar premium tanah dan cukai akan meningkat.

Artikel Berkaitan:

"Adakan penerima tanah hak milik kekal ini mampu membayar cukai tanah dengan tempoh 999 tahun ini dan di manakah slogan Wawasan Kemakmuran Bersama yang dilaungkan kerajaan?

"Kita amat risau dengan sekiranya pemberian hak milik kekal ini dilakukan secara tergesa-gesa, tidak jelas dan tidak difahami oleh rakyat kerana boleh menyebabkan pertikaian sesama rakyat.

"Perlu dijelaskan adakah pemberian hak milik kekal ini sama dengan pemberian hak milik 999 tahun?" katanya.

Beliau berkata, isu pemberian hak milik kekal itu tidak seharusnya dijadikan polemik politik yang dibimbangi boleh mengganggu ketenteraman awam dan keharmonian masyarakat disebabkan ketidakfahaman rakyat tentang perkara tersebut.

Sebelum ini, polemik mengenai pemberian hak milik kekal bagi kampung baharu tercetus apabila Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming ketika Konvensyen DAP Perak mendesak Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menunaikan janji pilihan raya untuk melaksanakan pemberian hak milik kekal itu sebelum Tahun Baru Cina.

Kemudian, Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad menyifatkan pemberian hak milik kekal tanah itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan melanggar ketetapan Mesyuarat Majlis Tanah Negara ke-73.

Bagaimanapun DAP Perak menerusi Naib Pengerusinya, Dr Abdul Aziz Bari meminta Saarani mengemukakan bukti terdapat peruntukan undang-undang yang melarang hak milik kekal diberikan kepada rakyat.

ARTIKEL BERKAITAN:

Perak tuntut janj hak milik kekal kampung baru

Hak milik tanah kekal untuk semua kaum

Hak milik kekal tanah Jangan cabul Perlembagaan