Malaysia sumbang 18 juta sarung tangan ke Wuhan

Teresa bersama wakil syarikat yang menyumbangkan sarung tangan klinikal ke Wuhan.
Teresa bersama wakil syarikat yang menyumbangkan sarung tangan klinikal ke Wuhan.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Malaysia akan menyumbang 18 juta sarung tangan klinikal untuk keperluan hospital di Wuhan.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata, sumbangan itu dibuat menerusi Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia (MREPC) dan pengeluar sarung tangan getah di negara ini.

"Pada masa ini, hospital-hospital di Wuhan merayu bantuan keperluan perubatan seperti penutup muka, sut dan sarung tangan klinikal," katanya pada sidang media menyaksikan simbolik penyerahan sarung tangan klinikal kepada Duta China, Bai Tian oleh 10 syarikat pengeluar di sini hari ini.

Teresa berkata, penghantaran akan dilakukan dalam masa terdekat.

"Saya percaya sarung tangan ini akan dimasukkan ke dalam pesawat dalam misi membawa pulang 78 rakyat Malaysia di wilayah Hubei," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: China berdepan masalah kekurangan bekalan perubatan

Beliau berkata, sebanyak 2.3 juta sarung tangan sedang dalam perjalanan ke Wuhan menerusi pengedar di negara berkenaan.

"Dua syarikat, Top Glove dan Supermax telah menyumbangkan 2.3 juta sarung tangan melalui pejabat dan pengedar tempatan mereka di China ke Wuhan.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu syarikat yang turut menjalankan tanggungjawab korporat sosial mereka adalah Smart Glove, Hartalega, Kossan, YTY, Brightway dan Koon Seng," katanya.

Malaysia kini menjadi peneraju dalam sarung tangan klinikal dengan 180 bilion keping dieksport ke seluruh dunia.

Pada 2018, eksport sarung tangan Malaysia menyumbang RM17.7 bilion kepada negara, manakala pada 2019 eksport mencecah RM18 bilion.

Pada 2014, Malaysia menghantar lebih daripada 20 juta sarung tangan getah klinikal ke lima negara Afrika (Liberia, Sierra Leone, Guinea, Nigeria dan Congo) yang bergelut dengan virus Ebola.