Cadangan wujud semula Akta Antiberita Tidak Benar boleh difikirkan

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini. -Foto Bernama
Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berpendapat, cadangan mewujudkan kembali Akta Antiberita Tidak Benar yang dimansuhkan kerajaan pada tahun lalu boleh diteliti semula sekiranya ada keperluan.

Beliau berkata, walau bagaimanapun ia bergantung sepenuhnya kepada keputusan kerajaan untuk mewujudkan semula akta itu.

"Soal tiada undang-undang Antiberita Tidak Benar itu boleh difikirkan semula, sama ada wajarkah kerajaan nak bentang semula atau sebagainya. Itu terserah pada pihak kerajaan untuk meneliti.

"Namun, apa yang lebih penting ialah situasi masa kini, bagaimana kita menanganinya," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pagi tadi.

Menurutnya, selain di bawah Kanun Keseksaan, undang-undang sedia adalah turut melibatkan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).

“Kita ada undang-undang, selain akta lain juga untuk mengendalikan segala isu dan kes ini secara berkesan," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman yang mengatakan Akta Antiberita Tidak Benar tidak sepatutnya dimansuhkan dalam keadaan negara menghadapi penyebaran fakta palsu mengenai virus koronavirus.

Akta Antiberita Tidak Benar 2018 dibentangkan di Parlimen pada 27 Mac 2018 sebelum diluluskan pada 2 April tahun sama, dengan pindaan terhadap hukuman penjara daripada maksimum 10 tahun kepada enam tahun.

Artikel Berkaitan:

Akta itu bagaimanapun dimansuhkan selepas Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran selepas menang Pilihan Raya Umum Ke-14.