Bomba sedia bantu KKM tangani koronavirus

Mohammad Hamdan (baris depan, tengah) merakam gambar kenangan bersama pegawai-pegawai JBPM dan pengamal media dari pelbagai agensi sempena Perbarisan Tahunan 2020 di Putrajaya, hari ini.
Mohammad Hamdan (baris depan, tengah) merakam gambar kenangan bersama pegawai-pegawai JBPM dan pengamal media dari pelbagai agensi sempena Perbarisan Tahunan 2020 di Putrajaya, hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedia membantu Kementerian Kesihatan Malaysia dengan menggunakan kemahiran anggotanya dalam membendung penularan koronavirus di negara ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, sebagai agensi bertanggungjawab di dalam tugas-tugas kecemasan, bomba tidak boleh lari daripada panggilan kecemasan yang melibatkan kebakaran, khidmat kemanusiaan dan penyelamatan serta pengurusan insiden seperti risiko penularan wabak berjangkit tersebut.

"Dalam soal pengendalian wabak koronavirus ini, pihak bomba sentiasa siap siaga sekiranya Kementerian Kesihatan dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memerlukan bantuan.

"Sememangnya selama ini kami saling bekerjasama dan untuk membendung perebakan koronavirus, pihak bomba bersedia untuk membantu mereka sepenuhnya supaya pengendalian kawalan terhadap penyakit itu dapat dilakukan secara optima," katanya pada sidang media selepas majlis Perbarisan Tahunan 2020JBPM di sini, hari ini.

Bagaimanapun kata Mohammad Hamdan, dengan mengambil kira bahaya koronavirus yang boleh berjangkit itu, pihaknya akan memberi perlindungan secukupnya kepada anggota yang terlibat.

"Semalam kita telah membincangkan perkara ini. Untuk memastikan keselamatan anggota yang bertindak terhadap sebarang kecemasan berhubung koronavirus, mereka akan diberi perlindungan seperti topeng muka dan sarung tangan termasuk peralatan TTE yang mesti dalam keadaan bersih.

"Apabila balik ke balai mereka kena melakukan nyahpencemaran kepada diri mereka," katanya.

Tambah beliau, pada masa sama pihak bomba juga mematuhi nasihat Kementerian Kesihatan supaya memastikan kebersihan diri setiap anggota dan persekitaran kawasan bertugas termasuk menambah peralatan sanitizer dalam memastikan koronavirus tidak berpeluang menular di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Setakat ini jumlah warga bomba adalah seramai 15,000 orang di seluruh negara.

Sebelum itu dalam ucapannya sempena perbarisan tersebut Mohammad Hamdan berkata,sepanjang tahun 2019, pihaknya telah menerima sebanyak 117,065 panggilan kecemasan, meliputi 43.3 peratus adalah kecemasan melibatkan kes kebakaran, manakala 54.7% adalah tugasan penyelamatan dan 2 peratus merupakan khidmat kemanusiaan.

"Berbanding keseluruhan 110,150 kes pada tahun 2018, terdapat peningkatan sebanyak 6 peratus panggilan kecemasan, direkod secara keseluruhannya. Dengan perangkaan ini, bermakna purata sebanyak 321 panggilan direspon oleh pasukan kecemasan JBPM, setiap hari, di mana negeri Selangor menunjukkan perangkaan kecemasan yang paling tinggi," katanya.

Menurut Mohammad Hamdan, pada tahun 2019, taksiran harta yang berjaya diselamatkan daripada kejadian kebakaran pula adalah sebanyak RM48 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 42 peratus berbanding tafsiran tahun 2018.

"Namun angka kematian akibat kebakaran meningkat sebanyak 19.8 peratus iaitu daripada 97 mangsa pada tahun 2018 kepada kepada 121 kes kematian pada tahun lalu.

"Sebahagian daripada kematian kebakaran ini, adalah berpunca daripada kegiatan dan kes jenayah. Namun, jumlah kematian disebabkan kelemasan di air mencatatkan penurunan sebanyak 29.7 peratus pada tahun 2019 dan ia berkait rapat dengan usaha gigih pihak bomba bersama rakan strategiknya dalam melaksanakan program khidmat nasihat dan kesedaran awam kepada masyarakat," katanya.

Sempena perbarisan itu juga, JBPM memberikan sijil penghargaan kepada beberapa anggota yang cemerlang, orang awam dan pengamal media dari The New Straits Times, Astro Awani, Bernama, Al Hijrah, Radio Televisyen Malaysia (RTM), The Star dan Sinar Harian.