Trauma diserang babi hutan

Kecederaan yang dialami akibat serangan babi petang semalam.
Kecederaan yang dialami akibat serangan babi petang semalam.
A
A
A

JENIANG- Seorang lelaki masih merasa trauma dengan kejadian serangan seekor babi hutan yang mengganas di rumahnya hingga bapa dan adiknya cedera parah dalam kejadian di Kampung Baru, Simpang Pasir, Jeniang, semalam.

Menceritakan perasaannya Shahrin Shariff, 47, berkata, dia menyaksikan bapanya, Shariff Yunus, 74, terlentang dengan badan berlumuran darah akibat diserang dan disondol haiwan itu sekitar jam 3.30 petang semalam.

"Ayah sedang berehat di luar rumah sebelum serangan itu. Kemudian secara tiba-tiba saya mendengar suara ayah mengerang kesakitan dan saya lihat seekor babi bersaiz besar di sebelahnya. Walaupun takut dan gerun melihat babi itu tetapi saya memberanikan diri untuk membantu ayah.

"Saya terus capai kayu dan dapat pukul telinganya lalu babi itu menyerang saya pula. Pergelutan berlaku dan haiwan itu menggigit tangan kanan saya. Saya cuba kopek mulutnya untuk keluarkan tangan tetapi secara tiba-tiba saya rasa nak pitam lalu terjatuh. Akibatnya babi hutan bertaring itu berpeluang menyondol paha kiri saya," katanya.

Menurut Shahrin, adiknya Shamsul, 44, pula cuba membantu mereka tetapi dia juga disondol oleh haiwan itu di bahagian dada.

"Kemudian kami tarik ayah masuk ke dalam rumah. Ahli keluarga yang lain juga berlindung dalam rumah sementara menunggu bantuan sampai.

"Kami berada dalam keadaan ketakutan kerana babi itu masih berkeliaran di luar rumah bahkan dilihat berkubang di lopak air hadapan rumah kami sebelum menghilangkan diri kira-kira setengah jam kemudian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Babi yang menyerang mangsa berjaya ditembak dalam operasi pagi tadi.
Babi yang menyerang mangsa berjaya ditembak dalam operasi pagi tadi.

Lelaki itu cedera di bahagian tangan kanan, luka pada jari kiri, bahu kiri dan paha kiri manakala bapanya cedera di lengan kanan, paha kiri dan turut luka di kepala.

Sebelum itu, haiwan tersebut difahamkan terlebih dulu menyerang seorang lelaki warganegara Thailand sekitar jam 2.30 petang.

Ibrahim Sulong, 31, difahamkan sedang membuat persiapan untuk memulakan operasi kedai makan yang terletak kira-kira 200 meter dari lokasi anak beranak itu diserang babi hutan itu.

Semua mangsa menerima rawatan di Hospital Sik sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim.

Bagaimanapun Shahrin sudah dibenarkan pulang kira-kira jam 7 pagi hari ini, hanya bapanya masih menerima rawatan di hospital.

Difahamkan, sebelum kejadian itu sememangnya terdapat babi berkeliaran di beberapa buah kampung di kawasan itu antaranya Kampung Sungai Perahu, Kampung Batu 10, Kampung Jeniang, Kampung Jeniang Tengah, Kuala Dahanan, Kampung Gading dan Kampung Pondok, namun tidak pernah mengganggu penduduk.

Bagaimanapun dalam kejadian semalam, seekor babi hutan dengan anggaran seberat 200 kilogram dan bertaring telah 'mengganas' di Kampung Baru dengan menyondol empat mangsa.

Sementara itu Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kedah, Jamalun Nasir Ibrahim memaklumkan, operasi memburu haiwan tersebut dimulakan pada jam 8 pagi tadi dengan dianggotai lima pegawai PERHILITAN selain bantuan pelbagai pihak.

"Operasi berjaya menembak tiga ekor babi termasuk babi yang menyerang mangsa, kira-kira 50 meter dari lokasi rumah mereka.

"Babi yang menyerang mangsa berjaya ditembak sekitar jam 11.30 dan operasi ditamatkan pada jam12 tengah hari,"katanya.