Gajah muncul depan rumah

BALING - Lebih 60 pokok dokong di Kampung Padang Empang, Bukit Iboi yang terletak di kaki Gunung Inas musnah akibat serangan gajah liar sejak beberapa bulan lalu.
Pemilik kebun, Mohd Noor Jusoh, 64, berkata kejadian pertama disedari pada 7 September lalu apabila kira-kira 40 pokok dokong di kebun terletak berhampiran hutan simpan musnah.
"Haiwan ini mungkin muncul semula pada malam hari sama," katanya kepada Sinar Harian.
Mohd Noor berkata, gajah sama dipercayai kembali ke kebun miliknya pada 8 September apabila mendapati kira-kira 20 pokok dokong lagi musnah akibat serangan haiwan tersebut.
"Petang hari yang sama pula saya secara jelas dan terang-terangan nampak kelibat besar gajah jantan keluar dari hutan simpan kira-kira jam 6.45 petang dan berada kira-kira 15 meter tak jauh dari halaman rumah ketika mahu buang sampah.
"Saya dan isteri masuk ke rumah menyembunyikan diri, sementara itu di luar rumah pula kedengaran bunyi batang pokok diterbalikkan," katanya.
Jelasnya, kejadian itu merupakan kali pertama kebun dokong miliknya dimusnahkan gajah kerana sebelum ini hanya pokok pisang, tebu dan tanaman lain menjadi sasaran.
Kejadian itu menambah kebimbangan mereka kerana gajah berkenaan muncul terlalu hampir dengan kawasan rumah.
Selain itu, dua tangki yang diletakkan berhampiran paip air boring di kawasan kebun turut dirosakkan.
Bimbang dengan keselamatan diri dan keluarga, Mohd Noor membuat dua laporan polis berhubung kehadiran haiwan liar berkenaan sebagai langkah berjaga-jaga.
"Pada 2025, kebun saya pernah juga dimasuki gajah tetapi yang dimusnahkan ialah pisang hutan dan pokok buluh tetapi kali ini habis pokok dokong dan kelapa sawit yang saya baru tanam tiga minggu sebelum itu juga dirosakkan," katanya.

Sementara itu, penduduk Kampung Charok Kapas, Kupang, Siti Bunga Deris, 72, terkejut apabila mendapati pokok pisang dan kelapa di tepi rumahnya musnah akibat serangan gajah.
"Mujur ketika kejadian saya di rumah anak yang terletak bersebelahan, bila tengok pokok pisang terbalik, pagar dan bumbung pun rosak kena pokok kelapa yang dimusnahkan gajah," katanya.
Seorang lagi penduduk, Ainul Nur Syakinah Salahudin, 17, mengetahui kawasan rumahnya dicerobohi gajah selepas dimaklumkan penduduk kampung yang menyedari kejadian itu.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kira-kira 20 batang pokok pisang yang ditanam datuknya di sekeliling rumah musnah akibat serangan haiwan berkenaan.
"Orang kampung turut berjaga malam sebab bimbang haiwan ini muncul semula," katanya.
Gajah liar makin menghampiri penempatan penduduk
Hasil pemeriksaan dan tinjauan di beberapa lokasi di daerah ini mengesahkan beberapa kebun termasuk kediaman penduduk diganggu gajah liar.

Pengerusi Majlis Ketua Kampung (MKK) Kampung Charok Kapas, Mohamad Rizam Malek berkata, kawasan terjejas termasuk tanah perkuburan, kebun pisang, ladang kelapa sawit dan tanaman kelapa di sekitar rumah penduduk.
Menurutnya, MKK akan terus memantau keadaan di lapangan dan memaklumkan kepada pihak berkaitan sekiranya terdapat perkembangan atau kemunculan semula gajah liar di kawasan penempatan penduduk.
"Penduduk amat bimbang kerana gajah semakin menghampiri kawasan kediaman. Selain kerosa-kan tanaman, terdapat risiko bumbung, atap dan struktur rumah rosak, di samping mengancam keselamatan penghuni rumah.
"Kebimbangan ini lebih serius memandangkan terdapat penduduk warga emas dan penduduk yang tinggal bersendirian di kawasan terlibat," katanya.
Sementara itu, Setiausaha MKK Kampung Bukit Iboi, Mat Zulkri Abu Bakar berkata, lokasi kejadian telah dikunjungi pihak berkaitan termasuk penghulu dan agensi berkenaan.
"Setakat ini, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah dimaklumkan dan hadir ke lokasi memantau keadaan.
"Bagaimanapun, kita sentiasa meminta penduduk agar berjaga-jaga, memaklumkan sebarang kejadian sekiranya menyedari terdapat ancaman atau gajah muncul semula di kawasan perkampungan," katanya.
Penduduk juga berharap tindakan segera diambil bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terjamin terutama bagi mereka yang tinggal berhampiran kebun atau hutan simpan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

