Wanita sumbang RM48.92 juta kutipan zakat Pulau Pinang pada 2025

GEORGE TOWN - Golongan wanita menyumbang sebanyak RM48.92 juta menerusi lima kategori bayaran zakat di Pulau Pinang sepanjang tahun 2025, sekali gus membuktikan peranan besar golongan itu dalam memperkukuh sumber zakat negeri.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, seramai 21,002 wanita membayar zakat pendapatan pada tahun lalu, merangkumi 51.86 peratus daripada keseluruhan pembayar bagi kategori berkenaan.
Menurutnya, jumlah bayaran zakat pendapatan oleh wanita mencecah RM39.25 juta manakala zakat wang simpanan pula melibatkan 2,721 pembayar wanita dengan kutipan RM6.86 juta.
“Bagi zakat emas, wanita mewakili 71.95 peratus daripada pembayar melibatkan bayaran RM1.51 juta.
“Dalam kategori zakat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan zakat saham, bayaran wanita masing-masing berjumlah RM1.05 juta dan RM250,000,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Himpunan Wanita Profesional 2026 (HWPro) anjuran Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) di Bayan Lepas di sini.
Mohamad berkata, sumbangan wanita sebagai pembayar zakat atau muzakki perlu terus diberikan pengiktirafan dan diperkasakan kerana hasil kutipan itu membantu meningkatkan kesejahteraan golongan asnaf.
Menurutnya, Zakat MAINPP mengagihkan sebanyak RM200.11 juta kepada 45,831 penerima individu dan institusi sepanjang 2025, meningkat kira-kira 23 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Jelas beliau lagi, bagi tempoh sehingga 30 September lalu, jumlah agihan zakat yang direkodkan pula ialah RM143.14 juta.
Beliau berkata, zakat bukan sekadar memenuhi tuntutan agama malah menjadi instrumen pembangunan sosioekonomi umat Islam bagi membantu golongan asnaf keluar daripada kitaran kemiskinan melalui perlindungan sosial, penjagaan kesihatan, pendidikan, latihan kemahiran dan pembangunan ekonomi.
Mohamad menambah, sumbangan zakat wanita profesional mempunyai kaitan rapat dengan usaha membina generasi masa depan kerana dana berkenaan bukan sahaja membantu memenuhi keperluan semasa, malah membuka peluang pendidikan dan kerjaya kepada anak-anak asnaf.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, MAINPP turut memberi penekanan terhadap pendidikan sebagai pelaburan sosial jangka panjang bagi mengubah kehidupan keluarga asnaf dan melahirkan generasi profesional pada masa hadapan.
Katanya, pelbagai inisiatif dilaksanakan secara berperingkat bermula daripada pendidikan awal kanak-kanak sehingga ke peringkat pengajian tinggi bagi memastikan kekangan kewangan tidak menghalang anak-anak asnaf mencapai potensi mereka.
Antaranya, menerusi Mutiara Program Didik Cemerlang Akademik (MPDCA) yang turut diperkenalkan dengan penjenamaan Tuisyen Madani, MAINPP memperuntukkan RM2 juta bagi 2026 untuk memberi manfaat kepada 7,403 murid dan pelajar daripada 109 sekolah di seluruh Pulau Pinang.
"Program berkenaan merangkumi kelas tuisyen, modul pembelajaran, bengkel teknik menjawab peperiksaan, seminar akademik dan kem kecemerlangan.
"Selain itu, MAINPP menyediakan peruntukan RM22.36 juta bagi Dermasiswa Pengajian Tinggi pada 2026 untuk membantu mahasiswa yang memenuhi syarat kelayakan meneruskan pengajian," ujarnya.
Beliau berkata lagi, usaha itu selari dengan Agenda Pembangunan Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2030 (APAI2030) serta aspirasi Penang2030 untuk membina masyarakat yang inklusif, berdaya tahan dan sejahtera.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

