Isu tular Hospital Jitra: JKN usaha kurangkan masa menunggu

ALOR SETAR - Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) sedang melaksanakan langkah penambahbaikan bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan, termasuk mengurangkan masa menunggu di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Jitra.
JKN Kedah dalam kenyataan berkata, pihaknya memahami kebimbangan masyarakat dan menghargai keprihatinan orang ramai, sekali gus kekal komited dalam memastikan perkhidmatan kesihatan yang selamat, cekap dan berkualiti.
Ia susulan hantaran tular di media sosial berhubung penyampaian perkhidmatan di Hospital Jitra, khususnya berkaitan masa menunggu di Jabatan Kecemasan dan Trauma serta dakwaan mengenai anggota bertugas.
"Hasil siasatan mendapati seorang pesakit telah mendaftar pada 9 Oktober 2026, jam 7.30 pagi dan dikategorikan sebagai kes Zon Hijau (bukan kritikal) selepas saringan klinikal.
"Pada masa sama, pasukan perubatan sedang merawat seorang pesakit kritikal di Zon Merah dan dua pesakit separa kritikal di Zon Kuning. Situasi ini telah dimaklumkan kepada pesakit yang menunggu memandangkan keutamaan rawatan adalah berdasarkan tahap kecemasan," katanya.
Berdasarkan kenyataan tersebut, pesakit berkenaan telah dipanggil pada jam 8.36 pagi, namun didapati telah meninggalkan jabatan tersebut.
"Berhubung dakwaan anggota tidur ketika bertugas, semakan mendapati anggota berkenaan sedang menjalankan tugas seperti yang ditetapkan.
"Sementara itu, satu lagi video yang tular dikenal pasti sebagai rakaman lama sempena sambutan Hari Raya pada Mac 2026, selepas anggota terlibat selesai bertugas," jelas kenyataan berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

