Tiga maut, satu parah dalam dua nahas berasingan

Keadaan kenderaan yang terlibat kemalangan sehingga menyebabkan dua maut dan seorang parah dalam kejadian di Jalan Sulaman, Kota Kinabalu.
Keadaan kenderaan yang terlibat kemalangan sehingga menyebabkan dua maut dan seorang parah dalam kejadian di Jalan Sulaman, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Dua maut manakala seorang lagi parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Sulaman di sini pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, Herman Abdullah, 20, bersama seorang lagi mangsa wanita yang belum diketahui identiti menaiki kenderaan jenis Proton Wira Aeroback disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

Seorang lagi mangsa, Ahmad Termizy M Zaini, 34, yang menaiki kenderaan jenis Proton Saga mengalami kecederaan parah di anggota badan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.48 pagi.

Katanya, seramai 11 anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 23 kilometer dari BBP Kota Kinabalu.

Mangsa yang tersepit dalam kenderaan dikeluarkan oleh pihak bomba.
Mangsa yang tersepit dalam kenderaan dikeluarkan oleh pihak bomba.

"Menurut laporan, kemalangan melibatkan dua kenderaan di mana terdapat dua mangsa tersepit di dalam kenderaan Proton Wira Aeroback dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

"Seorang lagi mangsa yang berada di dalam Proton Saga berjaya dikeluarkan oleh orang awam dan diberi rawatan awal oleh Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dan seterusnya dihantar ke Hospital Likas dengan menggunakan ambulans," katanya dalam kenyataan.

Katanya lagi, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada jam 12.20 tengah hari.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan seorang lelaki maut selepas kenderaan yang dipandunya terbabas di Jalan Lama Papar kira-kira jam 6 pagi.

Mangsa Alif Syahadan Lasim, 21, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam kenderaan jenis Proton Wira.

Ketua BBP Rozlan Osman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.19 pagi dan seramai 10 anggota dikejar ke lokasi.

"Kemalangan membabitkan sebuah kenderaan yang terbabas sendiri ke dalam parit dan terdapat seorang mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalamnya.

"Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa namun mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.