Ops Mega: 630 warga asing ditahan di tapak pembinaan Kulim

Kesemua warga asing yang ditahan dibawa menggunakan 12 bas sewa dan dua lori dari Kulim ke Dewan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Anak Bukit, Alor Setar bagi menjalani proses tapisan serta pemeriksaan dokumen pengenalan diri.
Kesemua warga asing yang ditahan dibawa menggunakan 12 bas sewa dan dua lori dari Kulim ke Dewan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Anak Bukit, Alor Setar bagi menjalani proses tapisan serta pemeriksaan dokumen pengenalan diri.
A
A
A

ALOR SETAR – Seramai 630 warga asing dari beberapa negara ditahan dalam Ops Mega di sebuah tapak pembinaan berskala besar di Padang Meha di Kulim pada Isnin.

Pengarah Imigresen Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, kesemua mereka ditahan hasil pemeriksaan terhadap 697 warga asing dan rakyat Malaysia dalam operasi kira-kira jam 11 pagi.

Menurutnya, mereka yang ditahan terdiri daripada 622 lelaki dan lapan perempuan berusia antara 18 hingga 50 tahun.

“Antara perkara yang menarik perhatian ialah kebiasaannya di kawasan pembinaan kita menemukan warga China, Bangladesh dan Indonesia.

“Namun, kali ini kita menemukan warga dari Ghana, Nigeria, Kenya, Senegal dan New Zealand. Kita akan siasat bagaimana mereka boleh berada dalam sektor ini di Kulim,” katanya pada sidang akhbar pada Selasa.

Mengikut pecahan kewarganegaraan, warga China mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi iaitu 396 orang, diikuti Bangladesh (199), Pakistan (10), Myanmar (tujuh), India (lima), Ghana (empat), Nigeria (tiga), Kenya (dua), Indonesia (dua), New Zealand (seorang) dan Senegal (seorang).

Mohd Ridzzuan (kiri) menunjukkan pasport warga asing yang sedang disemak dan diteliti semasa sidang akhbar di Alor Setar pada Selasa.
Mohd Ridzzuan (kiri) menunjukkan pasport warga asing yang sedang disemak dan diteliti semasa sidang akhbar di Alor Setar pada Selasa.

Mohd Ridzzuan berkata, operasi itu dilaksanakan hasil maklumat serta risikan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, operasi berkenaan melibatkan 159 pegawai imigresen daripada beberapa bahagian dan negeri termasuk Kedah, Perlis, Perak, Kuala Lumpur serta Negeri Sembilan.

“Imigresen Kedah memohon bantuan anggota dari luar negeri ini bagi menjayakan operasi tersebut selepas pemantauan dan hasil risikan yang dilakukan di lokasi terbabit sebelum ini.

“Kesemua warga asing yang ditahan dibawa menggunakan 12 bas sewa dan dua lori dari Kulim ke Dewan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Anak Bukit bagi menjalani proses tapisan serta pemeriksaan dokumen pengenalan,” ujarnya.

Jelas beliau, tangkapan itu melibatkan pelbagai kesalahan imigresen di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Katanya, sepanjang operasi, enam saman kepada saksi turut dikeluarkan bagi membantu siasatan.

“Operasi di kawasan pembinaan seluas hampir 500,000 meter persegi itu turut berdepan cabaran keselamatan apabila sebahagian individu yang ditahan cuba melarikan diri dengan bersembunyi di kawasan berisiko tinggi, termasuk menaiki bumbung bangunan yang belum siap.

“Selain itu, tindakan provokasi oleh sekumpulan individu yang ditahan terhadap pegawai imigresen turut mencetuskan ketegangan ketika operasi dijalankan,” katanya lagi.

Mohd Ridzzuan mengingatkan majikan, kontraktor utama dan subkontraktor supaya memastikan setiap pekerja asing yang diambil bekerja mempunyai dokumen perjalanan serta pas atau permit yang sah selain mematuhi semua syarat imigresen yang ditetapkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!