Koronavirus: Wabak dijangka berlarutan beberapa bulan

Individu yang dijangkiti tidak menyebarkan virus sehingga mereka mula menunjukkan simptom seperti demam, masalah pernafasan dan radang paru-paru. - Foto AFP
Individu yang dijangkiti tidak menyebarkan virus sehingga mereka mula menunjukkan simptom seperti demam, masalah pernafasan dan radang paru-paru. - Foto AFP
A
A
A

TORONTO - Koronavirus yang kini sedang melanda China dan beberapa negara di seluruh dunia dijangka berlarutan sekurang-kurangnya beberapa bulan, menurut penyelidik yang membuat anggaran berdasarkan data.

Seorang profesor di Universiti Toronto, Kanada, David Fisman berkata, langkah kuarantin, membasuh tangan dan memakai topeng muka yang sistematik dapat membantu mengurangkan jumlah pesakit yang dijangkiti.

"Semakin lama kita belajar mengenainya, lebih banyak ia kelihatan seperti Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS). SARS boleh dikawal dan diharap koronavirus ini juga sama.

"Ia mungkin berlarutan selama beberapa minggu atau bulan. Tiada siapa tahu berapa lama ia akan berlaku," katanya.

Difahamkan, penyelidik menggunakan model matematik untuk menganggarkan bilangan sebenar kes pada tarikh semasa dan membandingkannya dengan wabak sebelum ini.

Sehingga hujung minggu lalu, pasukan penyelidik berpendapat bahawa individu yang dijangkiti tidak menyebarkan virus sehingga mereka mula menunjukkan simptom seperti demam, masalah pernafasan dan radang paru-paru.

ARTIKEL BERKAITAN: Koronavirus: Angka kematian meningkat kepada 106 orang

Pihak berkuasa China hari ini berkata, anggota perubatan telah dikerahkan untuk memerangi wabak koronavirus namun berdepan masalah kekurangan bekalan perubatan yang diperlukan, lapor agensi berita Anadolu.

Artikel Berkaitan:

Memandangkan jumlah kematian meningkat kepada 106 orang dengan kes mereka yang dijangkiti turut bertambah seramai lebih 4,500 orang, Suruhanjaya Kesihatan Negara (NHC) China berkata, lebih 10,000 katil hospital telah disediakan untuk pesakit, menurut South China Morning Post.

Bercakap pada sidang media di Beijing, Timbalan Ketua Biro Pentadbiran Perubatan NHC Jiao Yahui berkata, 4,000 kakitangan perubatan telah ditempatkan di wilayah tengah Hubei.

"China menghantar kira-kira 6,000 anggota perubatan ke Hubei," katanya dengan 1,800 dijangka tiba petang ini. - AFP