Polis sita aset ketua sindiket dadah

Abdul Hamid Bador
Abdul Hamid Bador
A
A
A

CHERAS - Polis menyita sejumlah aset dipercayai ada kaitan dengan ketua sindiket pengedaran dadah terdiri termasuk wang bernilai RM366 juta, hartanah, saham, kenderaan dan barang kemas dalam Op Eagle Diamond pada 16 Januari lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, tindakan berkenaan adalah untuk melumpuhkan sindiket itu sepenuhnya walaupun suspek dipercayai bersembunyi di negara jiran.

"Kita bekerjasama dengan pihak berkuasa negara tersebut untuk menangkap suspek," katanya pada sidang media di Maktab Polis Diraja Malaysia Kuala Lumpur di sini pagi tadi.

Sementara itu, menurutnya, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman juga menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah gudang di Seberang Perai, Pulau Pinang.

"Kita merampas pelbagai peralatan memproses dadah, syabu seberat 4.98kg, serbuk dan cecair disyaki bahan kimia seberat 114.6kg yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM250,000.

"Lapan lelaki berusia 33 hingga 51 tahun termasuk lima warga Myanmar dan seorang warga China ditahan dan mendapat perintah reman sehingga Khamis ini untuk siasatan lanjut," katanya

Pada 10 September tahun lalu, JSJN Bukit Aman melancarkan Op Eagle di Butterworth, Pulau Pinang dan berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan dadah antarabangsa apabila merampas 12 tan kokain yang dicampur dengan arang batu bernilai RM2.4 bilion.

ARTIKEL BERKAITAN: Rampasan dadah RM2.4 bilion di Pulau Pinang kejayaan besar PDRM

Artikel Berkaitan:

Kes jenayah catat penurunan tahun lalu: KPN