X

Kindly register in order to view this article
!

Kes jenayah catat penurunan tahun lalu: KPN

ketua polis negara Abdul Hamid
Abdul Hamid
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakar prestasi membanggakan sepanjang tahun lalu apabila berjaya mengurangkan kadar jenayah selain pelaksanaan operasi atas pelbagai kesalahan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, ini terbukti apabila Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) merekodkan pengurangan kadar indeks jenayah sebanyak 249 kes berbanding sasaran sebanyak 269 kes bagi setiap 100,000 penduduk sekali gus catat penurunan 7.5 peratus.

"Bagi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) pula, sebanyak 17,582 operasi telah dilaksanakan dan berjaya menahan seramai 15,876 orang atas pelbagai kesalahan komersil.

"Sebanyak 21,016 kertas siasatan daripada 26,465 juga berjaya diselesaikan. Berdasarkan statistik ini, sebanyak 79 peratus kadar penyelesaian kes telah dicapai," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) juga merekodkan 1,665 operasi menerusi Op Bersepadu berbanding 961 operasi berbanding tahun sebelumnya malah jabatan itu juga telah membuat tangkapan seramai 3,086 individu atas pelbagai kesalahan trafik dan 296 individu atas kesalahan lain.

Katanya, selain itu, JSPT juga berjaya menyelesaikan kes-kes yang tular di jalan raya seperti 'road bully', 'road rage', pemandu mabuk dan dadah.

Tambah Abdul Hamid, bagi memperkuat usaha membanteras dan memerangi dadah, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) melancarkan sembilan operasi khusus dengan Program Naziran By Night serta Program Nurture For Betterment.

"JSJN sekali lagi melakar sejarah besar apabila berjaya membuat rampasan berskala mega dalam Op Eagle pada 10 September lalu dengan rampasan sebanyak 12 tan dadah kokain bernilai RM2.4 bilion di Pulau Pinang," katanya.

Dalam pada itu, menerusi Op Blue Devil bagi mengesan salah laku warga PDRM atas kesalahan dadah, seramai 268 pegawai dan anggota telah ditahan sepanjang tahun lalu manakala bagi tempoh 1 Januari sehingga 17 Januari ini, sembilan warga PDRM telah ditahan.

Katanya lagi, selain itu, tahun lalu PDRM berjaya melakar kejayaan apabila seramai 24 atlet terdiri daripada empat pegawai dan 20 anggota terpilih menyertai kontinjen Malaysia dalam Sukan Sea Ke-30, Filipina dan berjaya membawa pulang lima pingat emas, tiga perak serta empat gangsa.

"Sempena Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara (KPN) Anjuran JSJN, pada 22 Januari lalu, seramai 49 pegawai dan 41 anggota telah diberikan surat penghargaan bagi menghargai prestasi cemerlang dalam pelbagai bidang tugas, operasi narkotik selain mereka yang mempamer tahap integriti yang tinggi," katanya.