Tiada koronavirus di Pulau Pinang: Exco

Afif Bahardin
Afif Bahardin
A
A
A

GEORGETOWN - Exco Kesihatan, Dr Afif Bahardin menafikan mesej mengenai dua warga China telah dijangkiti koronavirus (2019-nCOV) di Hospital Seberang Jaya (HSJ) seperti yang tular menerusi aplikasi WhatsApp sejak beberapa hari lalu.

Menurutnya, mesej kononnya maklumat terkini dari Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah itu adalah palsu selain mengelirukan.

"Mesej tersebut adalah palsu dan mengelirukan. Ia perbuatan oleh pihak tidak bertanggungjawab. Saya menafikan mesej yang ditularkan itu. Setakat hari ini, tiada kes koronavirus yang dikesan di Pulau Pinang yang dilaporkan oleh Jabatan Kesihatan Pulau Pinang.

"Tiada pesakit yang dijangkiti virus itu dirawat di mana-mana hospital di negeri ini. Sebarang maklumat, tunggu kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa. Adalah tidak bertanggungjawab untuk sebar kenyataan yang tidak disahkan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Tambahnya, semua pihak diminta sentiasa berhati-hati dan tidak menularkan berita yang tidak sahih yang boleh mencetuskan panik selain kegusaran di kalangan masyarakat.

Sementara itu, Adun Sungai Puyu, Phee Boon Poh berkata, dua pesakit berusia 26 dan lima tahun dari Butterworth yang dirawat di HSJ disahkan bebas dari virus tersebut.

"Wanita yang merupakan pelajar itu demam selepas pulang dari Fujian pada 23 Januari sebelum singgah di Bangkok, Thailand pada 24 Januari lalu. Sementara kanak-kanak perempuan tersebut telah ke China bersama ibunya dan pulang ke tanah air pada 20 Januari lalu.

"Bagaimanapun, kedua-duanya disahkan tidak dijangkiti koronavirus dan dibenarkan pulang ke rumah dengan dibekalkan ubat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Dr Asmayani Khalib berkata, pihaknya akan menyiasat mengenai mesej yang tular tersebut.

Terdahulu, tular satu mesej melalui WhatsApp kononnya dua individu yang berkunjung ke Thailand telah dimasukkan ke HSJ kerana disyaki dijangkiti koronavirus.

Mesej itu turut menyatakan HSJ telah membuka wad pengasingan bagi tujuan kuarantin untuk pesakit tersebut.