Malaysia tidak lagi terima pelancong Wuhan

Kakitangan di KLIA dan KLIA 2 bersiap siaga bagi menyambut kedatangan pelancong luar ke negara. - Foto Asril Aswandi Shukor
Kakitangan di KLIA dan KLIA 2 bersiap siaga bagi menyambut kedatangan pelancong luar ke negara. - Foto Asril Aswandi Shukor
A
A
A

SEPANG - [DIKEMASKINI] Malaysia tidak lagi menerima pelancong daripada Wuhan sejak 23 Januari lalu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, situasi itu seiring dengan langkah China yang mengisytiharkan sekatan udara dan darat terhadap 11 juta penduduk wilayah itu.

"Tidak ada lagi pelancong dari Wuhan," katanya yang menafikan laporan kononnya negara ini masih menerima pelancong dari wilayah yang terjejas akibat koronavirus.

Menurutnya, selain sibuk menangani virus koronavirus, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut berusaha menangani berita palsu yang tular di media sosial.

"Kita ada dua masalah iaitu virus ( koronavirus) dan viral (berita palsu).

"Masalah meruncing kini ialah berita palsu kononnya hanya Malaysia tidak menutup pintu masuk kepada warga China," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja di Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA dan KLIA2 di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Rohaizat Yon dan Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit, Dr Norhayati Rusli.

Pelbagai berita palsu bertebaran di media sosial boleh mencetus kebimbangan rakyat.

Artikel Berkaitan:

Semalam Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan rakyat Malaysia mengikuti perkembangan semasa mengenai virus tersebut melalui saluran KKM.

Sementara itu, Dzulkefly berkata, KKM akan menambah 12 alat pengimbas haba dalam masa terdekat.

"Kita masih menunggu peruntukan daripada Kementerian Kewangan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Koronavirus: China guna ubat rawat virus HIV

Menurutnya, setakat ini negara mempunyai 54 pengimbas haba dan ditempatkan di pintu masuk utama.

"Kalau Menteri Kewangan dapat beri perolehan segera, saya jangka ia tidak akan mengambil masa lama," katanya.

Setakat ini, seramai empat individu disahkan positif koronavirus manakala lima yang lain disyaki dijangkiti virus berkenaan dan kesemua yang terlibat warga China.