Sudah-sudahlah tambah garam tragedi Nur Farah Kartini
PELBAGAI luahan dikongsi warganet yang terkejut dengan kekejaman yang berlaku terhadap alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah, 25.
Selepas hampir seminggu dilaporkan hilang, mayat gadis manis berasal dari Miri, Sarawak itu ditemui di ladang sawit Kampung Sri Keledang di Hulu Selangor pada Isnin lalu dalam keadaan yang hampir reput.
Penantian keluarganya mengharapkan arwah dijumpai dalam keadaan selamat, berakhir dengan tragedi luka dan lebih memilukan dia mati dibunuh.
Walau apa saja kisahnya, kenapalah sehingga sanggup membunuh? Di mana hilangnya rasa perikemanusiaan sesama insan?
Berita kematian arwah bukan saja merentap hati ahli keluarganya, malah kita semua.
Berita tersebut turut memberi impak kepada seorang penyampai berita, Anas Farihin yang merupakan antara kenalan rapat arwah.
Menurut Anas, pengalaman menyampaikan berita tersebut merupakan sesuatu yang mencabar apabila dia perlu menahan emosi, ekspresi dan sebak ketika membaca berita mengenai Nur Farah.
Namun yang tidak seronok untuk didengar apabila pelbagai spekulasi kematian arwah yang ditimbulkan oleh sesetengah orang.
Ia lebih-lebih lagi apabila polis mengesahkan suspek utama yang ditahan berhubung kes pembunuhan Nur Farah adalah seorang anggota polis yang juga teman lelakinya.
Bapa suspek pula mendakwa anaknya yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak sudah lama berkawan dengan Nur Farah sejak wanita itu masih belajar sekitar dua atau tiga tahun lalu.
Rakan-rakan arwah pula mendakwa suspek bukanlah teman lelaki mangsa seperti yang dilaporkan, malah ada juga individu yang mendakwa suspek dan mangsa hanya kenalan sahaja dan tidak mempunyai sebarang hubungan istimewa.
Dari situ mulalah warganet yang tidak sensitif membuat olahan cerita sendiri seolah-olah dialah paling tahu apa sebenarnya berlaku sehingga terlupa menjaga hati dan perasaan keluarga.
Allahyarham sudah tiada untuk membela diri dan jangan pula kita tambah luka kesedihan pada keluarganya. Sudah-sudahlah menambah garam dalam cerita kematian arwah.
Kita juga mungkin marah dengan kejadian berlaku, tetapi janganlah sehingga menabur fitnah dan cuba menjadi pihak berkuasa kerana ia boleh mengganggu proses siasatan.
Pelakunya sudah pasti akan menerima hukuman dan kita yang tidak tahu apa-apa sebaiknya menjadi pemerhati sahaja.
Apa yang penting, kes yang berlaku boleh dijadikan iktibar kepada kita semua terutama golongan wanita untuk lebih berhati-hati.
Selain itu, jika berlaku kes kehilangan ahli keluarga, ambillah tindakan cepat dengan membuat laporan polis selepas usaha pencarian gagal atau beranggapan berlaku kejadian buruk, dan bukannya tunggu selepas 24 jam.
Apa yang penting, hadir ke balai polis dengan maklumat lengkap bagi memudahkan siasatan dan pencarian.
Dengan cara ini polis dapat mengesan tentang kejadian lebih awal terutama selepas beberapa jam mangsa hilang.
Kes kehilangan wanita yang berakhir dengan kematian di tangan kenalan lelaki sendiri mengingatkan penulis dengan kes Mila Shamila Samsusah atau Bella yang dilaporkan hilang selepas pergi ke kedai dobi di Simpang Rantai, Batu Pahat, Johor bersama seorang teman lelaki pada 14 Disember tahun lalu.
Namun hanya rangka wanita terbabit ditemui di sebuah rumah sewa terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah selepas 36 hari kehilangannya.
Rangka mangsa dijumpai susulan penahanan teman lelaki Bella, sejurus lelaki itu tiba di tanah air selepas menunaikan umrah.
Lelaki itu yang juga bekas posmen telah pun didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat pada 24 Januari lalu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Walau apa saja jalan cerita yang membawa kepada pembunuhan yang berlaku, semoga mangsa mendapat pembelaan yang sewajarnya dan pelaku mendapat balasan yang setimpal.
* Syamilah Zulkifli ialah Ketua Wartawan Negeri Sembilan dan Melaka