X

Kindly register in order to view this article
!

Masukkan Pulau Jerejak dalam peta jejak warisan Pulau Pinang

Pernah dikenali sebagai lokasi penempatan banduan dan pusat kuarantin penyakit kusta dan batuk kering, Pulau Jerejak hari ini semakin dilupakan biarpun amat sinonim di kalangan masyarakat Pulau Pinang.- Foto Bernama
A
A

GEORGE TOWN - Pernah dikenali sebagai lokasi penempatan banduan, tahanan perang dan pusat kuarantin pesakit kusta dan batuk kering, Pulau Jerejak hari ini semakin dilupakan biarpun amat sinonim dengan masyarakat Pulau Pinang.

Sebuah pulau kecil yang wujud di selatan Pulau Pinang itu yang mendapat nama samaran ‘Alcatraz Malaysia’ kerana terdapat Pusat Pemulihan Jerejak yang menempatkan banduan dibuang negeri begitu kaya dengan peninggalan sejarah bernilai sejak Perang Dunia Kedua.

Justeru, Pulau Jerejak ini perlu disenaraikan dalam peta jejak warisan Pulau Pinang atau ‘heritage trail map’ yang merupakan inisiatif kerajaan negeri untuk memberikan panduan kepada pelancong meneroka negeri Pulau Mutiara ini.

Menyampaikan saranan itu, Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Utara, Ahmad Husni Ahmad Basri berkata, terdapat kesan sejarah yang tersembunyi di pulau itu seperti penjara lama yang agak uzur selain bunker peninggalan tentera zaman silam.

“Saya tidak nampak Pulau Jerejak (dalam peta itu). Pulau Jerejak bukan sahaja ada pusat peranginan tetapi juga tinggalan sejarah...kita bimbang produk ini akan rosak dan hilang begitu sahaja. Sempena Experience Penang Year 2020, kita berharap kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk memulihara tempat pelancongan ini,” katanya.

Ahmad Husni (kiri) berswafoto bersama para peserta ketika menaiki 'cruise' untuk melihat pemandangan matahari terbenam pada program 'Hidden Pearls of Penang Island' bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020) di Pulau Jerejak. - Foto Bernama

Bercakap kepada Bernama pada Program Hidden Pearls of Penang Island di Pulau Jerejak di sini, Ahmad Husni berkata, laluan untuk meneroka peninggalan sejarah itu perlu ditambah baik kerana dipenuhi semak samun serta dikhuatiri bakal mendatangkan bahaya kepada para pelancong yang ingin meneroka warisan sejarah itu.

Selain itu Pulau Jerejak turut menawarkan pelbagai pakej rekreasi dan terdapat pusat peranginan untuk pelancong yang ingin merasai percutian berbeza di pulau yang kaya dengan tinggalan sejarah dan keindahan alam semula jadinya yang tidak banyak diteroka itu.

Eksekutif Rekreasi Jerejak Island Resort (JIR), Muhamad Saddiq Mansor berkata, pihaknya menawarkan pakej aktiviti rekreasi lasak dengan bayaran RM20 seperti berbasikal, berkayak, memanah, memancing dan membawa ke lokasi menarik untuk bergambar yang sesuai dikongsi dalam pelbagai platform media sosial.

Selain itu katanya JIR juga membawa pelancong meredah hutan untuk meneroka kesan peninggalan sejarah di Pulau Jerejak seperti pusat tahanan banduan, bunker perang ketika zaman penjajahan British, hospital kusta dan batuk kering, Pusat Pemulihan Jerejak, gereja lama, kuarters pekerja hospital dan warden penjara.

Pernah dikenali sebagai lokasi penempatan banduan dan pusat kuarantin penyakit kusta dan batuk kering, Pulau Jerejak pada hari ini semakin dilupakan biarpun amat sinonim dalam masyarakat Pulau Pinang. - Foto Bernama

Bernama yang berpeluang merasai sendiri pengalaman berbasikal sambil menjejak peninggalan sejarah di pulau itu mendapati hanya tiga blok daripada keseluruhan 23 blok Pusat Pemulihan Jerejak yang masih ada untuk tatapan generasi masa kini.

“Setiap blok mampu menempatkan seramai 50 tahanan, jika dilihat di sini, para tahanan akan tidur di lantai, sama ada berlapik atau tidak kita tak pasti... Tetapi mereka mempunyai sebuah ruang beriadah seperti padang, kerusi dan meja batu. Bila tiba waktu semakin gelap, kesemua tahanan akan masuk semula ke dalam bangunan,” katanya.

Pusat Pemulihan Jerejak atau lebih dikenali sebagai Alcatraz Malaysia yang pernah beroperasi pada tahun 1969 dapat diterokai jika berkunjung ke Pulau Jerejak. - Foto Bernama
Pusat Pemulihan Jerejak atau lebih dikenali sebagai Alcatraz Malaysia yang pernah beroperasi pada tahun 1969 dapat diterokai jika berkunjung ke Pulau Jerejak. - Foto Bernama

Muhamad Saddiq berkata, Pusat Pemulihan Jerejak itu telah beroperasi sejak tahun 1969 dan ditutup pada 1993 bagi menempatkan banduan yang dibuang negeri dan kes-kes tertentu sahaja.

Katanya, orang ramai yang tidak menginap di JIR juga boleh merasai pengalaman menjejak tinggalan sejarah itu dengan hanya menaiki feri dari Jeti Pulau Jerejak, Bayan Lepas dengan bayaran RM20 seorang.

Orang ramai yang ingin menginap di JIR dinasihatkan untuk memuat turun aplikasi VHM Hotel di Play Store dan Apps Store untuk mendapatkan tawaran harga yang lebih berbaloi. - Bernama

Para peserta melalui kawasan jeti lama selepas mengayuh basikal kira-kira tiga KM semasa menyertai program 'Hidden Pearls of Penang Island' bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020) di Pulau Jerejak.- Foto Bernama