Kemanisan jagung Binjai pikat pembeli jauh

Norazian bersama jagung Binjai yang diusahakan dan dijual untuk pengunjung
Norazian bersama jagung Binjai yang diusahakan dan dijual untuk pengunjung
A
A
A

LIPIS - Keistimewaan 'jagung Binjai' yang dikatakan lebih manis menyebabkan ia menjadi buruan pengunjung luar dan penduduk tempatan di daerah ini.

Diusahakan di atas tanah kira-kira 40 hektar oleh lebih 45 pengusaha yang merupakan anak jati Kampung Binjai, tanaman terbabit menjadi punca pendapatan utama penduduk kampung sejak lebih 60 tahun lalu walaupun kawasan itu sering dilanda banjir.

Norazian Bakar, 54, berkata, majoriti pelanggan memberitahu kemanisan jagung tersebut memikat selera mereka untuk mendapatkan jagung Binjai setiap kali datang ke kampung tersebut.

Pelanggan memilih jagung Binjai untuk dibawa pulang ke rumah
Pelanggan memilih jagung Binjai untuk dibawa pulang ke rumah

Dia yang mengusahakan tanaman terbabit sejak puluhan tahun dahulu mengakui ia adalah sumber pendapatan utama keluarganya.

"Tanaman ini memerlukan masa selama dua bulan 10 hari sebelum dipetik dan dijual kepada pembeli.

"Setiap ikat jagung mempunyai enam hingga tujuh tongkol bergantung kepada saiz dan dijual dengan harga RM10," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang lagi pengusaha, Ahmad Kitam, 62, mendakwa banjir juga memberikan kelebihan kepada tanah di kawasan tersebut.

Ahmad bersama jagung Binjai bakar.
Ahmad bersama jagung Binjai bakar.

"Tanah di sini cukup subur sebab ia sering dilanda banjir. Ia (banjir) membawa baja dan mineral yang baik selain turut membawa lari penyakit.

"Mungkin atas faktor itulah menyebabkan jagung Binjai lebih manis dan enak dan menjadi pilihan anak perantau sebagai buah tangan untuk dibawa pulang," tambahnya.

Mula mengusahakan tanaman jagung sejak lebih 20 tahun lalu dengan keluasan tanah miliknya seluas 0.8 hektar, ia tidak menghalang dirinya untuk terus kekal dalam bidang tersebut.

Jelas Ahmad, benih diperoleh dari Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lipis selain turut mendapat khidmat nasihat daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Pejabat Pertanian Daerah untuk meningkatkan hasil tanaman.

Ujarnya lagi, untuk mendapatkan hasil tanaman jagung yang berkualiti, penjagaan yang rapi amatlah diperlukan khususnya dari segi benih, baja dan juga bekalan air.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!