Kenderaan Malbatt disekat penduduk tempatan di Lubnan - ATM

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Markas Angkatan Tentera Malaysia (MK ATM) mengesahkan kejadian melibatkan sebuah kenderaan Malaysian Battalion 850-11 (Malbatt 850-11), yang disekat penduduk tempatan di Beirut, Lubnan.

MK ATM dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan kejadian tersebut berlaku pada 29 Februari kira-kira 4.30 petang (waktu tempatan Lubnan), ketika konvoi dua buah kenderaan Malbatt 850-11 dalam perjalanan ke Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL) staging area, berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Rafik Hariri, Beirut.

"Sebuah daripada kenderaan terbabit iaitu jenis Fitted For Radio jenama Cendana Auto bersama lima anggota Malbatt 850-11, telah terpisah daripada konvoi akibat kesesakan lalu lintas.

"Kenderaan tersebut telah memasuki kawasan Hay Al-Sellom di Dahiyeh, Selatan Beirut bagi membuat pusingan untuk kembali ke laluan sebenar,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, ketika membuat pusingan tersebut sekumpulan penduduk tempatan seramai 15 hingga 20 orang menyekat kenderaan itu dan meminta anggota untuk memberikan penjelasan serta tujuan kenderaan melalui kawasan itu, memandangkan ia merupakan kawasan milik persendirian.

Kenyataan itu memaklumkan penduduk juga memeriksa bahagian dalam kenderaan untuk tujuan tertentu, sebelum dibenarkan meneruskan tugasan.

"Tiada sebarang kecederaan kepada anggota, kehilangan peralatan atau kerosakan kepada kenderaan dalam insiden tersebut. Perkara ini juga telah dirujuk kepada pihak Lebanese Armed Force.

"Malbatt 850-11 akan meneruskan rutin tugasan seperti mandat yang ditetapkan oleh UNIFIL dan semua pihak diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai insiden tersebut,” menurut kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, media Lubnan melaporkan kenderaan berperisai milik UNIFIL yang didakwa membawa anggota pengaman dari Malaysia, dipercayai ditahan penduduk tempatan dan diserahkan kepada pejuang Hezbollah di kawasan Hay al-Sellom di Dahiyeh, selatan Beirut, baru-baru ini.

Portal Defence Security Asia (DSA) yang memetik media Lubnan melaporkan bahawa, kawasan berkenaan berada di luar kawasan operasi UNIFIL.

Portal berita berbahasa Arab, Lubnan Al-Modon pula, mengeluarkan video memaparkan keadaan dalam kenderaan perisai UNIFIL itu yang antara lain menunjukkan di stereng kenderaan perisai terdapat perkataan ‘Cendana Auto’ dan beberapa peralatan peribadi milik anggota pengaman.

Timbalan Jurucakap UNIFIL, Kandice Ardiel ketika bercakap dengan stesen televisyen tempatan, Lebanese Broadcasting Corporation International (LBCI) mengesahkan kejadian itu, yang membawa kepada penahanan sementara anggota pengaman UNIFIL.

"Sebuah kenderaan pasukan pengaman PBB yang sedang dalam perjalanan rutin logistik ke Beirut telah memasuki jalan yang tidak dirancang,” menurut Kandice.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan kewarganegaraan anggota pengaman yang terbabit dalam insiden itu.

Selain kebebasan untuk bergerak di dalam kawasan operasi UNIFIL, Kandice memaklumkan mereka juga dibenarkan bergerak di seluruh Lubnan oleh kerajaan negara itu, bagi tujuan pentadbiran dan faktor logistik seperti tertakluk dalam pelaksanaan Resolusi 1701. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!