Warga emas, kanak-kanak warga asing jadi sasaran buruh paksa

Fadil
Fadil
A
A
A

KUALA LUMPUR - Golongan rentan seperti warga emas, wanita, orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak warga asing dikesan menjadi mangsa pemerdagangan manusia atau eksploitasi buruh paksa di negara ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Deputi Komisioner Fadil Marsus berkata, terdapat pelbagai jenis bentuk eksploitasi dilakukan terhadap golongan terbabit.

"Antaranya adalah mereka (mangsa) terikat dengan hutang terhadap individu atau ejen yang memperdayakan mereka di negara ini, selain turut diperdayakan oleh sindiket di negara asal mereka," katanya ketika sidang akhbar pada Khamis.

Menurutnya, golongan itu sebaik tiba di Malaysia, mereka dijanjikan pekerjaan dengan pulangan lumayan sebaliknya menjadi buruh paksa.

"Mereka turut dijadikan sebagai pengemis, peminta sedekah, hamba seks, selain tidak dibenarkan bertemu orang lain, dikurung di tempat kerja dan tinggal di tempat yang tidak kondusif," katanya.

Fadil berkata, ada antara mangsa turut diancam dengan pelbagai ugutan sama ada daripada majikan, ejen atau penjaga mereka termasuk akan dicederakan sekiranya tidak melakukan apa sahaja yang diarahkan.

"Situasi itu adalah sama dengan mana-mana rakyat Malaysia yang diperdayakan di luar negara dan menjadi mangsa pemerdagangan manusia.

"Justeru apa yang kita harapkan daripada masyarakat adalah untuk melaporkan segera sebarang aktiviti mencurigakan membabitkan pemerdagangan manusia kepada pihak polis," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga turut mengulas tentang tindakan segelintir pihak membabitkan majikan atau ejen kepada warga asing yang menyimpan dokumen pengenalan diri warga asing terbabit.

"Dalam situasi ini sekiranya ada individu yang memegang dokumen perjalanan diri atau pasport milik individu lain, maka ia adalah menjadi satu kesalahan namun siasatan lanjut akan dijalankan jika tujuan dokumen itu disimpan adalah bagi mengelakkan mereka (warga asing) melarikan diri.

"Namun jika tujuannya adalah untuk aktiviti pemerdagangan manusia serta adanya elemen ugutan maka individu yang menyimpan dokumen perjalanan milik orang lain boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!