[VIDEO] Wanita menyamar pegawai AADK didakwa tipu warga emas RM416,000

A
A
A

MELAKA - Seorang wanita yang menyamar sebagai pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (ADKK) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, pada Jumaat, atas pertuduhan memperdayakan seorang warga emas hingga kerugian RM416,000.

Tertuduh, Norhana Adam, 38, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa memperdaya rakan lelakinya, Ab Karim Hasan, 64, mengenai seorang pegawai AADK yang tidak wujud yang akan ditukarkan ke Sabah atau Sarawak sehingga mendorong mangsa menyerahkan sejumlah RM416,000 secara berperingkat bagi mengelak individu itu ditukarkan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kedai makan berhampiran Stadium Hang Jebat di sini, antara September 2023 hingga Jun 2024.

Norhana (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Melaka pada Jumaat.
Norhana (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Melaka pada Jumaat.

Pendakwaan bagi kesalahan itu dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara antara satu hingga 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Difahamkan, tertuduh pada awalnya menyamar sebagai pegawai kanan AADK telah bertemu mangsa dan memohon pinjaman wang sebanyak RM10,000 bagi membantu melepaskan rakan sekerjanya yang didakwa ditahan kerana menolak pertukaran tempat kerja.

Dia yang tidak bekerja dan menggunakan nama Manja Bunga Lestari mendakwa rakan sekerjanya yang tidak wujud itu mempunyai beberapa saman yang perlu diselesaikan sebelum dibebaskan daripada tahanan lalu menyebabkan mangsa menyerahkan sejumlah wang kepada tertuduh.

Artikel Berkaitan:

Norhana (tengah) mengaku tidak bersalah memperdayakan seorang warga emas hingga kerugian RM416,000.
Norhana (tengah) mengaku tidak bersalah memperdayakan seorang warga emas hingga kerugian RM416,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syazwanie Marizan yang mencadangkan jaminan RM30,000 manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan rendah memandangkan dia yang tidak bekerja perlu menjaga ibu yang sakit.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan dan melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan.

Mahkamah turut menetapkan 6 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!