Ibu sanggup berkorban apa sahaja demi anak koma kembali sembuh

Rozita perlu memberikan perhatian dan penjagaan rapi buat Muhammad Yusshah Danish yang koma sejak empat tahun lalu akibat kemalangan jalan raya pada 1 Jun 2020.
Rozita perlu memberikan perhatian dan penjagaan rapi buat Muhammad Yusshah Danish yang koma sejak empat tahun lalu akibat kemalangan jalan raya pada 1 Jun 2020.
A
A
A

JERANTUT - "Saya dan suami berdoa agar anak kembali sedar dan sembuh seperti sedia kala," kata seorang pengusaha butik pengantin di Felda Kota Gelanggi Dua, Rozita Hamzah, 51 selepas anaknya, Muhammad Yusshah Danish, 20, terlantar koma akibat komplikasi selepas kemalangan empat tahun lalu.

Kemalangan pada 1 Jun 2020 berhampiran felda terbabit turut meragut peluang remaja itu untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menurutnya, pelbagai usaha termasuk rawatan alternatif di seluruh Semenanjung termasuk ke Perak, Terengganu dan Kuala Lumpur telah dilakukan hingga kini demi anak ketiga daripada lima beradik itu.

"Memang ada nampak perubahan, bila dipanggil adik, dia berikan respons.

"Walaupun sudah banyak duit simpanan dihabiskan kira-kira RM50,000 setakat ini demi rawatan anak, tapi kami tidak mahu berputus asa dan reda dengan ujian ini," katanya yang juga seorang mak andam.

Jelasnya, dengan situasi yang dihadapi anaknya itu, rutin hariannya dan suami, Yussery Ismail, 54, berubah demi Muhammad Yusshah yang memerlukan penjagaan rapi sepenuhnya.

Tambah Rozita, kini segala urusan butiknya, Ita Andaman Legacy diuruskan dua anaknya, Nurul Syafieqa, 27, yang menguruskan bahagian pelamin manakala Muhammad Yusshah Daniel, 24, bertindak selaku jurumekap.

"Walaupun anggota lain pulih, tetapi kecederaan teruk di bahagian otak menyebabkan dia tidak boleh bergerak dan hanya terlantar sehingga ini," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, anaknya yang sebelum seorang yang ceria dan rajin membantu keluarga kini hanya bergantung dengan susu khas dengan peruntukan kira-kira 15 tin sebulan.

"Boleh dikatakan perbelanjaan untuk Muhammad Yusshah sahaja mencecah RM4,000 sebulan untuk pembelian susu khas, lampin pakai buang, beg air kencing, ubat dan sebagainya.

"Pada bulan depan, anak saya akan ke hospital untuk menukarkan tiub saluran minuman susu di perut dengan dikenakan bayaran RM800 manakala tiub di bahagian leher sebanyak RM200 dalam tempoh enam bulan sekali," ujarnya.

Rozita berkata, walaupun ada menerima bantuan bulanan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun dia amat menghargai sekiranya ada pihak yang sudi menghulurkan sumbangan.

Orang ramai yang ingin membantu mengurangkan beban keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan mereka ke dalam akaun Maybank (156141282978) atas nama Rozita Hamzah.