Guru Bahasa Inggeris dari Singapura: Ini penjelasan Perdana Menteri

Anwar
Anwar
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri menafikan dakwaan bahawa Malaysia melantik guru Bahasa Inggeris dari Singapura untuk mengajar di negara ini.

Sebaliknya, jelas Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia merupakan cadangan dari Malaysia sekiranya republik itu mempunyai skim bantuan sukarela untuk siswazah Singapura dihantar ke kawasan miskin bandar, pedalaman, Sabah dan Sarawak.

"Saya beritahu boleh tak kalau ada skim dari Singapura seperti mana skim bantuan atau dari segi diplomasi antara negara untuk mereka membantu.

"Bukan kita pilih guru dari Singapura...Dengarlah dulu, kadang-kadang jadi pakar tiga minit kemudian terus lontar di media sosial dan faktanya salah," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi ucaptama di hadapan 10,000 hadirin Himpunan Aspirasi Madani Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada Jumaat.

Ujar beliau, Malaysia mahu membina hubungan baik dengan negara jiran, Thailand, Brunei, Indonesia serta Singapura.

"Antaranya saya bincang soal zon ekonomi Johor, pelaburan dan perdagangan sebagai inisiatif untuk menjalinkan hubungan baik.

"Jadi orang ingat ohh ada siswazah atau graduan dari Singapura datang dalam skim sukarelawan untuk mengajar Bahasa Inggeris. Itu sahaja.

Artikel Berkaitan:

"Ini terus dia kata tidak hormat kaum sendiri, cuba bawa komunis dari Singapura," jelas Anwar.

Rabu lalu, menerusi pertemuan empat mata dengan rakan sejawat, Malaysia telah berbincang dengan Singapura mengenai kemungkinan negara republik itu menghantar guru-guru untuk mengajar bahasa Inggeris dan mata pelajaran lain di beberapa tempat dalam negara.

Ia mengundang kritikan antaranya Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang mempersoal kenyataan kerajaan sebelum ini yang tegas ingin melaksanakan penjimatan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!