Rafidah, Puad kritik cadangan ambil guru bahasa Inggeris Singapura

Hantaran Facebook Rafidah dan Puad pada Khamis.
Hantaran Facebook Rafidah dan Puad pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz mengemukakan empat cadangan kepada kerajaan dalam isu pengambilan guru bahasa Inggeris dari Singapura.

Menurut Rafidah, antara cadangannya ialah mengambil guru mata pelajaran itu yang telah bersara, semak semula sukatan latihan kepada guru, semak semula sukatan pelajaran dan tidak perlu jadikan bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran untuk sebahagian daripada peperiksaan keseluruhan.

"Tidak salah untuk Malaysia menjalin kerjasama dengan negara lain seperti Singapura, namun kerajaan mungkin boleh merangka program jangka panjang bagi meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan golongan muda.

"Sebagai ingatan guru dari Singapura itu juga akan dibayar dengan kadar mengikut dolar Singapura yqng mana tiga kali ganda lebih kerana perlu ikut kadar tukaran (mata wang)," katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Khamis.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan, Malaysia telah berbincang dengan Singapura mengenai kemungkinan negara republik itu menghantar guru-guru untuk mengajar bahasa Inggeris dan mata pelajaran lain di beberapa tempat dalam negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu disentuh beliau dalam pertemuan empat mata dengan rakan sejawatnya dari Singapura, Lawrence Wong di Seri Perdana, Putrajaya.

Mengulas lanjut mengenai cadangannya mengenai pengambilan guru bahasa Inggeris yang telah bersara, beliau berkata, ia membolehkan pengalaman yang ada pada mereka dimanfaatkan.

Ujarnya, kerajaan juga dicadang untuk membayar guru-guru berkenaan mengikut tukaran dolar Singapura jika perlu dengan mengambil kira kepakaran merekq.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyindir keputusan kerajaan untuk menggunakan khidmat guru bahasa Inggeris daripada negara jiran.

Beliau dalam masa sama turut mempersoal kenyataan kerajaan sebelum ini yang tegas ingin melaksanakan penjimatan.

"Betulkah nak ambil guru Bahasa Inggeris dari Singapura? Bertambahlah perbelanjaan negara. Mesti ikut rate (kadar) gaji dan mata wang Singapura. Kata nak berjimat.

"Ini masalah Malaysia tidak cukup guru BI atau kualiti guru bahasa Inggeris Malaysia memang rendah? Harap biar jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil yang jawab," katanya.

Beliau bagaimanapun turut mengingatkan Fahmi untuk tidak memberikan jawapan yang sukar difahami.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!