Dua beradik meninggal dunia selang sehari

Gambar Allahyarham Latifah (kiri) dan Mohd Rashid (kanan) yang meninggal dunia selang sehari.
Gambar Allahyarham Latifah (kiri) dan Mohd Rashid (kanan) yang meninggal dunia selang sehari.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Seorang lelaki meninggal dunia selang sehari selepas kakaknya menghembus nafas terakhir pada Rabu lalu.

Allahyarham, Mohd Rashid Aziz, 38, meninggal dunia jam 5.57 petang Khamis manakala kakaknya, Latifah Aziz, 48, pula pada jam 8.33 pagi sehari sebelumnya.

Adik mereka, Norazilah Aziz, 37, berkata, Allahyarham Mohd Rashid merupakan anak kesembilan, manakala Latifah pula anak ketiga daripada 11 beradik.

"Saya akui sukar menyembunyikan kesedihan atas pemergian abang dan kakak dalam tempoh sehari.

"Malah kami sekeluarga masih terkejut lebih-lebih lagi hanya tinggal seminggu untuk menyambut Aidiladha," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Norazilah memberitahu, abangnya yang juga orang kurang upaya (OKU) mulanya dibawa ke Hospital Tanjong Karang selepas diserang sawan pada 19 Mei lalu.

"Arwah abang pada masa itu berada pada tahap kritikal di zon merah dan selepas enam hari menerima rawatan dia dibenarkan pulang ke rumah kami di Kampung Bestari Jaya.

"Bagaimanapun, keadaan abang semakin merosot dan memerlukan penjagaan rapi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, selama ini, Mohd Rashid diuruskan ibu mereka, Arfiah Mohd Arif, 71, namun terbatas berikutan penglihatannya kabur akibat faktor usia.

"Tiga kakak saya termasuk Latifah membantu memberi ubat, susu dan air semasa hayat arwah abang," tambahnya.

Bagaimanapun, katanya, Allahyarham Latifah yang menetap di Felda Soeharto, Hulu Selangor hanya sempat membantu beberapa kali sebelum dia meninggal dunia.

"Ibu memberitahu arwah kakak (Latifah) sempat membantu abang menukar lampin pakai buang tiga kali sebelum dia mengalami muntah darah dan dikejarkan ke Klinik Kesihatan Bestari Jaya.

"Kakak kemudiannya dipindahkan di ICU (unit rawatan rapi) Hospital Tanjong Karang dan disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan.

"Allahyarham kakak sebelum ini ada mengalami masalah kesihatan berkaitan paru-paru dan tidak menyangka dia dijemput Ilahi terlebih dahulu," jelasnya.

Tambah Norazilah, Allahyarham abang dan kakaknya disifatkan insan yang baik dan kehilangan mereka berdua amat dirasai.

"Saya pernah kehilangan abang pada tahun 2002 dan lapan tahun yang lalu ayah pula meninggal dunia dan kini kakak dan abang pula menyusul.

"Hakikatnya, semua yang hidup pasti akan mati cuma cepat atau lambat saja, begitu juga dengan Allahyarham abang dan kakak meninggal dunia selang sehari dan mungkin itu yang terbaik menurut aturan ALLAH.

"Kedua-dua abang dan kakak saya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bestari Jaya," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!