[VIDEO] Seorang lagi jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Tanah Suci

A
A
A

MAKKAH - [DIKEMAS KINI] Seorang lagi jemaah haji Malaysia, Zuraida Mohd Haris, 37, meninggal dunia di Tanah Suci semalam, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini seramai lima orang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, jemaah berkenaan yang berasal dari Ampang, Kuala Lumpur meninggal dunia pada jam 8.15 malam semalam, di Hospital King Abdul Aziz di Makkah.

“Allahyarham meninggal dunia disebabkan pendarahan otak sebelah kanan selepas enam hari mendapatkan rawatan.

“Jenazah akan dikebumikan selepas solat Subuh di Tanah Perkuburan Syuhada Al-Haram,” katanya kepada petugas media dalam sidang media di Ibu Pejabat Tabung Haji (TH) di sini pada Selasa.

Mohd Na'im (tengah) bersama Tan Sri Abdul Rashid Hussain (kiri) dan Syed Hamadah Syed Othman ketika sidang media di Ibu Pejabat TH Makkah pada Selasa.
Mohd Na'im (tengah) bersama Tan Sri Abdul Rashid Hussain (kiri) dan Syed Hamadah Syed Othman ketika sidang media di Ibu Pejabat TH Makkah pada Selasa.

Menurutnya, setakat ini, seramai lima orang jemaah haji telah meninggal dunia akibat saluran darah utama pecah, serangan jantung, kegagalan fungsi organ dan pendarah otak.

“Saya mengucapkan takziah diucapkan kepada semua ahli keluarga Allahyarham dan Allahyarhamah.

“Tabung Haji akan melaksanakan badal haji untuk kesemua jemaah haji yang meninggal dunia dan ditanggung melalui Tabung Kebajikan Jemaah Haji Malaysia,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohd Na'im memberitahu seramai 56 orang jemaah haji Malaysia dirawat di hospital Arab Saudi dan Pusat Rawatan TH di Makkah.

Menurutnya, jemaah menerima rawatan disebabkan masalah berkaitan pernafasan seperti jangkitan kuman paru-paru dan lain-lain penyakit seperti masalah jantung, darah tinggi, gangguan emosi, dan sakit otot serta sendi.

“Insya-ALLAH, Tabung Haji akan merawat pesakit-pesakit dengan baik bagi memastikan jemaah haji berada dalam keadaan yang stabil dan kembali pulih,” katanya.

Beliau turut menasihati jemaah haji agar mematuhi segala peraturan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Arab Saudi dan sentiasa mengikut arahan yang diberikan petugas TH.

“Kita sudah menjangkakan cuaca sepanjang musim haji adalah panas di antara 30-45 darjah Celsius.

"Oleh itu jemaah haji dinasihatkan agar tidak terdedah terlalu lama kepada cuaca yang panas. Minum air dengan banyak supaya tidak berlaku strok haba,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!