Prospek FSZ di Pulau Pinang sedang dikaji - Kon Yeow

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGE TOWN - Prospek penubuhan Zon Kewangan Khas (FSZ) di Pulau Pinang sebagai enjin pertumbuhan kini sedang dikaji oleh Penang Institute (PI).

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kajian itu bagi menilai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Pulau Pinang dan sentimen perniagaan mengenai FSZ, penubuhan zon akan meningkatkan kecekapan perniagaan, memacu suntikan modal dan menghapuskan halangan kepada perdagangan.

"Pada masa ini, penyelidikan sedang dalam peringkat perundingan bersama pihak-pihak berkepentingan.

"Seterusnya, permohonan akan dimajukan kepada kerajaan Persekutuan bagi pelaksanaan FSZ," katanya dalam ucapan penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 di sini pada Khamis.

Sebelum ini, Lim Guan Eng (DAP-Air Putih) berkata, penubuhan SFZ di Pulau Pinang akan membantu meningkatkan pelaburan, pertumbuhan dan aktiviti ekonomi serta membawa negeri ke tahap pembangunan ekonomi seterusnya.

Guan Eng berkata, terdapat sambutan menggalakkan daripada penduduk Pulau Pinang dengan kedua-dua Dewan Perniagaan Cina dan Dewan Perniagaan India hadir sepenuhnya untuk menyokong SFZ untuk Pulau Pinang.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow (DAP-Padang Kota) berkata, kerajaan negeri turut mempertimbangkan alternatif bantuan kewangan daripada kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan Malaysia (MOF).

Beliau berkata, antara bentuk bantuan yang ditawarkan oleh MOF adalah pemberian pendahuluan kepada kerajaan negeri berdasarkan jumlah defisit sebenar negeri pada tahun sebelumnya.

Artikel Berkaitan:

"Pada masa ini, hanya beberapa negeri sahaja yang terpaksa memohon inisiatif pemberian pendahuluan daripada pihak MOF.

"Hal ini kerana jumlah pendahuluan yang diberikan kepada kerajaan negeri akan diselaraskan semula dengan jumlah penyaluran Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (TAHAP) yang akan disalurkan kepada kerajaan negeri.

"Alternatif lain adalah melalui permohonan pinjaman daripada kerajaan Persekutuan. Kaedah ini lebih sesuai bagi pelaksanaan projek-projek berskala besar dan projek yang memberi impak kepada rakyat," katanya.

Tambah Kon Yeow, sehingga 31 Januari tahun ini, Pulau Pinang merupakan negeri kedua yang mencatatkan jumlah terkumpul baki pinjaman kerajaan Persekutuan belum selesai yang terendah selepas Selangor sebanyak RM36.73 juta.

"Oleh itu, tindakan kerajaan negeri melakukan pinjaman daripada kerajaan Persekutuan akan merencatkan misi kerajaan negeri untuk menjadi negeri bebas hutang kerajaan Persekutuan dalam tempoh terdekat.

"Bagaimanapun, Jabatan Kewangan Negeri dari masa ke masa akan menilai perkara ini dan akan mencadangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sekiranya terdapat keperluan berhubung cadangan peminjaman daripada kerajaan Persekutuan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!