Penduduk tak perlu bimbang, bekalan air mencukupi - Kon Yeow

Kon Yeow ditemubual media pada Program Bubur Lambuk bersama Ketua Menteri Pulau Pinang di Masjid Jamiul Sharif Pokok Machang. Foto Bernama
Kon Yeow ditemubual media pada Program Bubur Lambuk bersama Ketua Menteri Pulau Pinang di Masjid Jamiul Sharif Pokok Machang. Foto Bernama
A
A
A

BUTTERWORTH - Kerajaan Pulau Pinang memberi jaminan bekalan air masih mencukupi bagi menampung keperluan pengguna khususnya ketika musim perayaan Aidilfitri ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, biarpun paras air di Empangan Air Itam merosot, namun penduduk tidak perlu bimbang kerana terdapat dua lagi empangan utama iaitu Empangan Teluk Bahang dan Empangan Mengkuang serta satu empangan kecil di Bukit Panchor yang masih boleh membekalkan air ke seluruh negeri.

Beliau berkata, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) kini memantau rapi kapasiti air di empangan-empangan berkenaan bagi memastikan penduduk mendapat bekalan secukupnya untuk kegunaan harian, selain pemantauan paras air Sungai Muda yang membekalkan 85 peratus sumber air mentah ke Pulau Pinang.

"Empangan Mengkuang merupakan empangan strategik untuk menyimpan air kerana ia tidak digunakan untuk rawatan harian sebaliknya ketika krisis dan ketika ini paras air empangan tersebut melebihi 90 peratus.

"Justeru penduduk tidak perlu bimbang mengenai gangguan (air) kerana paras empangan masih terkawal dan boleh membekalkan air secukupnya melainkan ada sebab lain di luar jangkaan umpamanya banjir di Baling, paip pecah dan sebagainya...itu kita tak boleh kawal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Memasak Bubur Lambuk di Masjid Jamek Pokok Machang, Tasek Gelugor di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Pengerusi PBAPP berkata, dalam memastikan kapasiti air di Empangan Air Itam dapat bertahan, PBAPP telah melaksanakan Pelan Tindakan Empangan Air Itam 2024 (AIDAP 2024) sejak Februari lepas dengan mengurangkan pengekstrakan air dari empangan itu.

Menurut Kon Yeow, kira-kira 10,000 akaun pengguna mendapat bekalan dari Empangan Air Itam, namun ketika ini hanya separuh akaun pengguna terlibat memperoleh bekalan air dari empangan itu manakala 5,000 akaun lagi memperoleh bekalan air dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama beliau berharap musim hujan bermula April hingga Jun ini akan dapat mengisi semula air di kesemua empangan terbabit.

Semalam, Kon Yeow dilaporkan berkata, kerajaan Pulau Pinang memantau rapi paras air dan kapasiti di Empangan Air Itam yang kini mampu bertahan lebih 30 hari sahaja lagi tanpa hujan.

Khamis lepas, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memaklumkan empat empangan menunjukkan penurunan paras simpanan sumber air mentah pada paras kritikal iaitu Empangan Sembrong Barat di Johor dengan paras 31.65 peratus, Empangan Air Itam (35 peratus) serta Empangan BS Padang Saga (39.67 peratus) dan Empangan Malut (39.90 peratus) di Kedah. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28