Asnaf raih pendapatan tanam rock melon secara fertigasi

Dari kanan; Mohd Hafiz, Ilahi, Mohd Afiq dan Fauzi menunjukkan buah rock melon yang sedia dituai.
Dari kanan; Mohd Hafiz, Ilahi, Mohd Afiq dan Fauzi menunjukkan buah rock melon yang sedia dituai.
A
A
A

PONTIAN - Tidak pernah bermimpi terlibat dalam pertanian moden secara kaedah fertigasi dan menghasilkan tanaman yang boleh mendatangkan rezeki.

Itu yang berlaku kepada Ilahi Zakaria, 40, kerana impiannya itu menjadi kenyataan selepas terlibat dalam projek fertigasi pertanian rock melon di bawah Pelan Pembangunan Asnaf, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) daerah Pontian.

Bersama dua lagi peserta, Fauzi Md Yunos, 53, dan Mohd Afiq Ahmad, 36, dibimbing mentor Mohd Hafiz Mohd Zin, 36, mereka mengusahakan tanaman rock melon secara fertigasi di atas tanah seluas 0.4 hektar di Pejabat Kadi Daerah Pontian, Jalan Parit Masjid.

Ladang rock melon seluas 0.4 hektar di Jalan Parit Masjid kini mengeluarkan hasi yang sudah boleh dituai.
Ladang rock melon seluas 0.4 hektar di Jalan Parit Masjid kini mengeluarkan hasi yang sudah boleh dituai.

Projek yang dimulakan pada Disember lalu dan telah menuai hasil buah rock melon sebanyak 12,000 biji pada Mac lalu.

Ilahi yang mempunyai tiga anak mengakui minat terhadap bidang pertanian membuatkan dirinya berani menyahut cabaran menyertai tanaman fertigasi yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.

"Sebelum ini, saya bekerja sebagai pemandu lori selain turut melakukan kerja-kerja mengopek kelapa. Melihat potensi bidang pertanian yang semakin baik dengan pelbagai teknologi digunakan saya tertarik untuk mencuba.

Artikel Berkaitan:

Kaedah secara fertigasi bagi penanaman rock melon mengeluarkan buah yang berkualiti.
Kaedah secara fertigasi bagi penanaman rock melon mengeluarkan buah yang berkualiti.

"Akhirnya, saya diberi peluang menyertai projek ini yang banyak memberi pendedahan tentang fertigasi dan kemahiran asas tentang usahawan pertanian atau agroprenuer," katanya ketika ditemui pada Rabu.

Sementara itu, bagi mentor projek, Mohd Hafiz berkata, tempoh menuai rock melon mengambil masa 70 hari dengan berat setiap buah mampu mencapai tiga kilogram (kg).

"Tuaian pertama pada Mac dan kini kami sedang menuai hasil untuk kali kedua. Kami jual terus kepada pelanggan kerana harganya lebih baik berbanding dijual kepada pemborong.

Selain rock melon, sun melon turut ditanam menerusi projek fertigasi pertanian rock melon di Pontian.
Selain rock melon, sun melon turut ditanam menerusi projek fertigasi pertanian rock melon di Pontian.

"Kami menggunakan media sosial untuk membuat hebahan mengenai rock melon yang hendak dijual. Sambutan diterima cukup luar biasa, sehinggakan tempahan yang dibuat dari Johor Bahru," katanya.

Jelasnya, mentor memainkan peranan penting memberi tunjuk ajar kepada peserta memandangkan penanaman rock melon agak rumit selain berdepan cabaran terutama cuaca panas.

Mohd Hafiz ( kiri) menjadi mentor kepada Ilahi (kanan) bagi projek penanaman rock melon secara fertigasi.
Mohd Hafiz ( kiri) menjadi mentor kepada Ilahi (kanan) bagi projek penanaman rock melon secara fertigasi.

"Saya turut memiliki kebun sayuran di Kampung Api-api, yang ditanam secara kaedah sama. Apabila ditawarkan untuk membantu asnaf, saya terima dan mahu mereka berjaya membuka kebun sendiri.

"Yang penting mereka perlu minat dan bersedia belajar kerana pertanian mampu menjana pendapatan untuk keluar kemiskinan, sekiranya dilakukan dengan kaedah yang betul," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!