Hubungan dengan China ubah dasar luar Malaysia lebih neutral

Farhatul Mustamirrah Mahamad Aziz
Farhatul Mustamirrah Mahamad Aziz
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Hubungan diplomatik antara China dan Malaysia pada tahun 1974 bukan sahaja membantu mengimbangi politik dalaman negara sebaliknya mengubah dasar luar daripada pro barat kepada lebih neutral dan bebas.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Farhatul Mustamirrah Mahamad Aziz berkata, walaupun China berada dalam blok komunis, ia tidak menggugat kedaulatan dan kebebasan Malaysia sama sekali.

Menurutnya, kedua-dua negara perlu lebih mengenali antara satu sama lain kerana berada dalam paksi yang sama dalam memberi peluang pembangunan ekonomi.

“Sejak termeterai perjanjian antara China dan Malaysia pada tahun 1974 kita melihat ia telah mengubah dasar luar negara kita daripada pro barat kepada lebih neutral dan bebas serta membantu mengimbangi keamanan di Asia Tenggara.

“Malaysia memandang China sebagai negara yang setara dan perkara ini tidak menggugat prinsip negara kita malah terus mengekalkan kebebasan sedia ada.

“Malaysia dan China berada dalam paksi yang sama. Kita sepatutnya mengenali antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Sinar siri ke-442 yang bertajuk 'China pengganti Amerika Syarikat?' yang dihoskan oleh Felo Operasi Pusat Pengajian Perang Saraf Media UiTM, Dr Nirwandy Mat Nordin di Studio F Kumpulan Karangkraf, di sini pada Selasa.

Turut hadir, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dan Pemerhati politik antarabangsa, Nasaie Ismail.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, menurut Farhatul Mustamirrah, perang dagangan antara China dan Amerika Syarikat menyebabkan Malaysia mengambil langkah berhati-hati dengan bersikap neutral tanpa berpihak kepada mana-mana negara.

Ujarnya, perang perdagangan tersebut memberi banyak peluang kepada negara di rantau Asia Tenggara.

“Polisi luar negara kita tidak sepatutnya bergantung kepada mana-mana kuasa besar dalam konteks ini Malaysia lebih berhati-hati dalam mengurangkan kebergantungan. Kita lebih neutral.

“Malaysia kini melihat China dan Amerika Syarikat sedang berlumba-lumba untuk mendapatkan pengaruh mereka di rantau Asia Tenggara yang menjadi rebutan kuasa besar kerana mempunyai potensi ekonomi,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!