Malaysia sasar tarik RM500 bilion pelaburan dalam fasa 1 NSS - PM

Anwar berucap pada acara SEMICON Asia Tenggara 2024, di sini, hari ini. Foto Bernama
Anwar berucap pada acara SEMICON Asia Tenggara 2024, di sini, hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Industri semikonduktor Malaysia dijangka mengalami ledakan selanjutnya di bawah Pelan Strategik Semikonduktor Kebangsaan (NSS) dengan negara bersedia untuk menarik sekurang-kurangnya RM500 bilion pelaburan dalam fasa pertama pelan tersebut, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Beliau yang menyifatkan NSS sebagai dokumen yang sentiasa dikemas kini dan berkembang mengikut keperluan, berkata, Malaysia sentiasa mendukung aspirasinya untuk menjadi pemain utama global dalam teknologi yang dikuasakan oleh industri semikonduktor.

"Justeru itu, semasa mesyuarat Jawatankuasa Pelaburan Kebangsaan kami pada 16 April, saya meminta satu pelan strategik dirangka untuk industri semikonduktor Malaysia.

"Hari ini, enam minggu kemudiannya, saya berbesar hati untuk berkongsi dengan anda ciri-ciri penting NSS Malaysia,” kata beliau berucap pada acara SEMICON Asia Tenggara 2024, di sini, hari ini.

Anwar berkata, NSS distrukturkan dalam tiga fasa untuk merangsang kerjasama dengan syarikat di seluruh ASEAN, Asia dan peringkat global.

Pada fasa pertama, pelaburan langsung domestik (DDI) akan menumpukan pada reka bentuk litar bersepadu (IC), pembungkusan canggih dan peralatan pembuatan, manakala pelaburan langsung asing (FDI) ditumpu pada fabrikasi wafer dan peralatan pembuatan.

"Dalam fasa ini, kami akan memanfaatkan kapasiti dan keupayaan sedia ada industri kami untuk menyokong pemodenan pemasangan dan ujian semikonduktor penyumberan luar (OSAT) dengan langkah ke arah pembungkusan canggih; mengembangkan fabrikasi sedia ada di Malaysia dan meneruskan FDI untuk mengembangkan kapasiti cip besar, terutamanya cip kuasa serta membangunkan reka bentuk cip tempatan,” kata beliau.

Di bawah fasa kedua NSS, Malaysia berhasrat untuk membangunkan sekurang-kurangnya 10 syarikat tempatan dalam reka bentuk dan pembungkusan canggih dengan perolehan antara RM1 bilion dan RM 4.7 bilion (US$210 juta dan US$1 bilion).

Artikel Berkaitan:

Negara juga berharap untuk membimbing sekurang-kurangnya 100 syarikat berkaitan semikonduktor dengan pendapatan hampir RM1 bilion (US$210 juta), mewujudkan bayaran gaji yang lebih tinggi untuk pekerja Malaysia.

"Fasa kedua kami akan meneruskan reka bentuk cip memori yang canggih, fabrikasi dan ujian serta berusaha untuk menyepadukan pembeli cip ini.

"Apabila fasa satu dilaksanakan, lebih banyak pengeluar cip termaju terkemuka akan tertarik untuk datang ke sini. Jadi peneraju reka bentuk tempatan kita boleh disepadukan dengan mudah ke dalam ekosistem syarikat fabrikasi termaju ini,” kata beliau.

Bagi fasa terakhir, Malaysia menyasarkan untuk menggandakannya dengan menyokong pembangunan reka bentuk semikonduktor Malaysia bertaraf dunia, pembungkusan termaju dan firma peralatan pembuatan, sambil menarik pembeli cip utama seperti Apple, Huawei, Lenovo dan syarikat teknologi utama lain untuk meneruskan pembuatan termaju di Malaysia.

.Untuk mencapai matlamat itu, Anwar berkata, negara akan membangunkan hab penyelidikan dan pembangunan global bagi semikonduktor, yang mengetengahkan universiti bertaraf dunia, korporat dan pusat kecemerlangan.

Selain itu, 60,000 jurutera berkemahiran tinggi Malaysia akan dilatih untuk menyokong permintaan yang semakin meningkat daripada sektor itu.

Kerajaan juga akan memperuntukkan sekurang-kurangnya RM25 bilion sokongan fiskal untuk mengoperasikan NSS dengan insentif bersasar, yang butiran terperincinya akan diumumkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri tidak lama lagi.

"Hari ini, saya menawarkan negara kami sebagai lokasi paling neutral bagi pengeluaran semikonduktor, untuk membantu membina rantaian bekalan semikonduktor global yang lebih selamat dan berdaya tahan,” kata beliau.

Anwar berkata, bagi mengukuhkan komitmen Malaysia untuk menjadi peneraju global dalam industri semikonduktor, Pasukan Petugas Khas NSS (NSSTF) akan diwujudkan dengan Collaborative Research in Engineering, Science and Technology (CREST), agensi di bawah MITI sebagai sekretariat. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!