[VIDEO] Kilang cat terbakar, penduduk sedia berpindah

A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Penduduk di sekitar kawasan perumahan Kampung Melayu Lima Kedai dekat sini sedia berpindah susulan insiden kebakaran di sebuah kilang cat di Taman Perindustrian Dato Yunus Sulaiman pada lewat petang Isnin.

Tinjauan Sinar Harian pada Selasa mendapati keadaan di kawasan berkenaan berada dalam keadaan terkawal bagaimanapun difahamkan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan pemeriksaan pencemaran udara di kawasan terbabit.

Justeru, dikhuatiri seandainya kualiti udara di kawasan berkenaan dilaporkan berada dalam keadaan yang tidak memuaskan dan memerlukan penduduk berpindah ke lokasi buat sementara.

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian

Salah seorang penduduk yang ditemui, Muhammad Haiqal Shazwan Kassim, 23, berkata, dia serta keluarga bersedia untuk berpindah jika mendapat arahan daripada pihak berkuasa untuk berbuat demikian.

Menurutnya, langkah berkenaan dilihat lebih selamat buat dirinya serta keluarga susulan kejadian kebakaran di kilang cat terbabit.

“Kalau kita dapat arahan bomba dan polis untuk pindah kerana udara di sekitar tak selamat, jadi kita sedia untuk berpindah.

“Begitu juga kalau ada apa-apa yang boleh berikan kesan dari segi keselamatan, kita juga sedia untuk pindah ke kawasan lain,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi penduduk, Mohd Zulhairi Hairul Nizam, 21, berkata, dia akan terus tinggal di kampung berkenaan selagi belum ada apa-apa arahan yang memintanya untuk berpindah.

Katanya, pada masa sama dia juga akan menunggu bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai kebakaran berkenaan bagi memastikan dia bersedia sekiranya diminta untuk berpindah dari kawasan berkenaan.

Keadaan kilang cat yang terbakar dalam kejadian pada lewat petang Isnin.
Keadaan kilang cat yang terbakar dalam kejadian pada lewat petang Isnin.

“Buat masa ini belum ada apa-apa tindakan lagi untuk saya berpindah sebab saya nak dapatkan info dan menunggu kenyataan daripada pihak alam sekitar (Jabatan Alam Sekitar Johor).

“Bagaimanapun, saya tetap berharap agar pihak yang bertanggungjawab dapat membantu dengan segara menyelesaikan apa juga tindakan yang akan dilakukan bagi menjamin keselesaan penduduk di kampung ini,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Kampung Kampung Melayu Lima Kedai, Abdul Halim Abdullah berkata, pihaknya juga menunggu keputusan daripada pihak JAS Johor berhubung kualiti udara di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun katanya, sekiranya kualiti udara di kawasan berkenaan disahkan tidak sihat, dia rela berpindah bagi menjamin keselamatan diri serta keluarga.

“Arahan perpindahan itu sebenarnya dibuat jika penduduk ada terhidu bau gas, mungkin ada bau alat-alat kimia atau apa-apa sahaja.

“Apa pun, kita tunggu keputusan daripada JAS Johor. Jika dah sah udara tak selamat, kita kena berpindah... jom kita berpindah, tak ada masalah,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!