[VIDEO] Pegawai polis didakwa minta, terima rasuah tutup kes dadah

A
A
A

ALOR SETAR - Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas empat pertuduhan meminta dan menerima wang suapan sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan berhubung kes dadah pada 2021.

Bagaimanapun tertuduh, Mohammad Kassim Mamas, 36, mengaku tidak bersalah kesemua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohammad Kassim yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bandar Baharu cuba untuk memperoleh suapan wang tunai sebanyak RM20,000 daripada seorang individu sebagai dorongan tidak mengambil tindakan melaporkan penahanan lelaki itu yang disyaki memiliki dadah jenis syabu.

Seorang pegawai polis didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Selasa atas empat pertuduhan meminta dan menerima wang suapan.
Seorang pegawai polis didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Selasa atas empat pertuduhan meminta dan menerima wang suapan.

Perbuatan itu dilakukan dalam sebuah kereta jenis Proton Persona di Kampung Kenangan, Serdang di daerah Bandar Baharu lebih kurang jam 10.15 malam pada 21 Jun 2021.

Berdasarkan pertuduhan kedua, tertuduh didakwa bersetuju untuk menerima wang tunai sebanyak RM15,000 dari lelaki sama sebagai dorongan tidak mengambil tindakan ke atas dirinya yang disyaki memiliki dadah jenis syabu lebih kurang jam 10.30 malam pada 21 Jun 2021 di Sungai Tengas, Serdang dalam daerah sama.

Tertuduh, Mohammad Kassim Mamas, 36, ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Selasa.
Tertuduh, Mohammad Kassim Mamas, 36, ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Selasa.

Bagi pertuduhan ketiga pada tarikh sama lebih kurang jam 11 malam dalam kenderaan sama di Kampung Sungai Tengas, Serdang,Bandar Baharu, Mohammad Kassim didakwa memperoleh suapan wang tunai RM2,000 daripada individu lain sebagai dorongan tidak mengambil tindakan melaporkan penahanan individu pertama yang disyaki memiliki dadah.

Artikel Berkaitan:

Dalam pertuduhan keempat tertuduh didakwa bersetuju untuk menerima wang tunai sebanyak RM7,000 untuk dirinya daripada individu pertama melalui perbualan telefon sebagai dorongan tidak mengambil tindakan lebih kurang jam 5.40 petang pada 22 Jun 2021 di Sungai Petani.

Kesemua pertuduhan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, Mohd Zulfadli Azharudin, manakala tertuduh diwakili peguam, Burhanudeen Abdul Wahid dan Muhammad Adam Burhanudeen.

Sebelum itu, Mohd Zulfadli mencadangkan jaminan RM20,000 dan seorang penjamin, manakala Burhanudeen memohon ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin atas alasan anak guamnya telah berkahwin dan mempunyai tanggungan keluarga.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan 23 Julai depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!