Empat lagi anggota Kastam didakwa terima rasuah kes lori lolos pemeriksaan

Seramai empat lagi pembantu penguasa Kastam didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Rabu, atas tuduhan rasuah mencecah RM39,800 berhubung kes melepaskan lori barangan tanpa pemeriksaan dari kargo KLIA, Sepang, bermula tujuh tahun lalu.
Seramai empat lagi pembantu penguasa Kastam didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Rabu, atas tuduhan rasuah mencecah RM39,800 berhubung kes melepaskan lori barangan tanpa pemeriksaan dari kargo KLIA, Sepang, bermula tujuh tahun lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai empat lagi pembantu penguasa Kastam didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas tuduhan rasuah mencecah RM39,800 berhubung kes melepaskan lori barangan tanpa pemeriksaan dari kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, bermula tujuh tahun lalu.

Alias Mat Yusop, 48; Mohd Rizal Othman, 43; Mohd Shahril Mohd Sukaimi, 39, dan Mohd Hanafi Che Mat mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Anita Harun.

Mohd Rizal didakwa atas sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM15,350 manakala Mohd Hanafi, 10 suapan (RM12,600), Mohd Shahril, 26 suapan (RM8,450) dan Alias, empat suapan (RM3,400).

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menerima rasuah mengikut jumlah itu, daripada seorang pemilik syarikat berusia 38 tahun sebagai dorongan tidak memeriksa lori-lori milik syarikat itu yang membawa barangan dari kargo KLIA.

Suapan diterima menerusi pemindahan dalam talian ke akaun masing-masing, di cawangan bank sekitar KLIA2 di Sepang, Kajang, Puchong dan Salak Tinggi antara Februari 2017 hingga April 2023.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 24 (1) akta sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Muhammad Asraf Mohamed Tahir; Nurul Atiqah Mohamad Alias dan Maziah Mohaide.

Mohd Rizal diwakili peguam, Ridha Abdah Subri manakala Muhammad Aizat Fakri bagi pihak tiga lagi tertuduh.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 kepada Mohd Rizal dan Mohd Hanafie manakala Mohd Shahril dan Alias, masing-masing RM10,000 serta RM8,000.

Semua lelaki ini juga dikehendaki menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri ke pejabat SPRM, Putrajaya sekali setiap bulan dan tidak menggangu saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes ini, pada 11 Julai depan.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan, seramai empat anggota Kastam yang ditahan dalam Ops Samba 2.0 didakwa di mahkamah sama atas pertuduhan menerima suapan antara RM1,200 hingga RM32,300 berhubung kes serupa.

Sebelum ini, SPRM dalam satu kenyataan pada Khamis lepas berkata, Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) telah melaksanakan Ops Samba 2.0 bermula 11 hingga 25 Mac lalu.

Kata kenyataan itu, operasi tersebut yang menumpukan siasatan kepada anggota dan pegawai JKDM bertugas di bahagian kargo KLIA, berjaya mengesan ketirisan hasil cukai sebanyak RM2 bilion.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!