Wartawan di barisan hadapan sejak sebelum merdeka - Fahmi

Fahmi (kiri) berswafoto pada majlis dialog bersama mahasiswa sempena Jelajah Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2024 di Pustaka Negeri Sarawak di Petra Jaya, pada Sabtu. Foto Bernama
Fahmi (kiri) berswafoto pada majlis dialog bersama mahasiswa sempena Jelajah Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2024 di Pustaka Negeri Sarawak di Petra Jaya, pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Wartawan telah berada di barisan hadapan sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan, dengan menggunakan pena menentang penjajahan serta menyemai semangat perjuangan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, antara tokoh yang terlibat secara langsung dengan perjuangan tersebut ialah Tan Sri Abdul Samad Ismail, yang juga merupakan antara pengasas Utusan Melayu.

Beliau berkata, Abdul Samad merupakan tokoh kewartawanan yang memainkan peranan penting dalam gerakan menentang penjajah.

"Ditubuhkan pada 1939, Utusan Melayu menjadi wadah kepada pemimpin nasionalis menyuarakan tuntutan mereka untuk kemerdekaan.

"Justeru itu, 29 Mei telah diumum dan diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional (Hawana). Tarikh berkenaan dipilih sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian pameran Hawana 2024 di sini, pada Sabtu.

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol; Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional (Bernama), Datuk Seri Wong Chun Wai,; Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj.

Sementara itu, Fahmi berkata, pada zaman digital kini, wartawan bukan sahaja perlu pandai mengolah atau menulis berita, mereka juga perlulah mempunyai kemahiran lain seperti mengambil gambar dan video serta menyuntingnya, bagi memenuhi kehendak pembaca.

Beliau berkata selain itu, pengamal media kini perlu bersaing dengan orang biasa menerusi media sosial dari segi kepantasan dan pada masa sama, tidak mengabaikan integriti dan memastikan maklumat disampaikan sahih dan tepat.

Artikel Berkaitan:

"Kini terletak di bahu pengamal media sendiri sama ada mahu mengadaptasi perubahan ini, terutama dalam memastikan cabaran yang dihadapi akan dapat dilalui dengan lebih mudah tanpa perlu mengorbankan integriti dan prinsip kewartawanan itu sendiri,” katanya.

Pameran Hawana 2024 berlangsung bermula hari ini hingga 27 Mei, menampilkan pameran menarik yang menggambarkan evolusi dan sejarah dunia kewartawanan di Malaysia, khususnya di Sarawak.

Sebanyak 17 agensi mempamerkan perkhidmatan masing-masing bagi memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan pelbagai maklumat selain menyertai aktiviti-aktiviti yang disediakan.

Antara agensi yang terlibat ialah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), TVS, Bernama, Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sarawak, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Sarawak, Jabatan Penerangan (Japen) Sarawak, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Sarawak Tourism Board (STB), Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) dan Uda Holdings Berhad.

Pelbagai program menarik diatur antaranya temu bual di konti, acara pentas serta peluang merasai sendiri pengalaman membaca berita secara profesional di reruai pameran UKAS.

Sebanyak 20 reruai pameran dibuka dari 10 pagi hingga 5 petang sepanjang tiga hari penganjuran. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!