Hawana 2024 buka tirai secara rasmi hari ini

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2024 bertemakan "Etika Teras Kewartawanan Mapan" bagi mengiktiraf peranan pengamal media di Malaysia membuka tirainya secara rasmi pada Sabtu di Bumi Kenyalang.

Sambutan yang diadakan hingga Isnin ini dimulakan dengan Jelajah Hawana 2024 Bersama Siswa di Pustaka Negeri Sarawak, di sini pada Sabtu yang melibatkan 200 pelajar dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak dan Swinburne University of Technology Sarawak.

Program julung kali diadakan semasa sambutan Hawana itu bakal dirasmikan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Ia bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terpilih mengenai dunia media melalui sesi perkongsian ilmu dan pengalaman daripada pengamal media selain menanam minat bidang kewartawanan kepada pelajar dan mengaplikasikannya dalam dunia pekerjaan.

Program itu juga mempunyai objektif untuk membina keyakinan dan mengasah bakat mahasiswa serta mahasiswi apabila berhadapan dengan masyarakat atau bidang kerja serta menguar-uarkan tentang sambutan HAWANA 2024 di setiap negeri yang akan dijelajahi.

Jelajah Hawana 2024 Bersama Siswa akan berlangsung sehingga Oktober depan dengan sasaran peserta dalam kalangan penuntut Pengajian Komunikasi dan Media atau mana-mana kursus berkaitan bidang kewartawanan.

Pada perasmian program itu hari ini, sesi perkongsian ilmu dan pengalaman akan diadakan dengan membincangkan topik berkenaan semak fakta oleh Editor MyCheck Malaysia dan Unit Data Journalism Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Sakina Mohamed dan Mobile Journalism (MoJO) oleh Wartawan Kanan Meja Digital Media Bernama, Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman selain sesi dialog dengan Menteri Komunikasi.

Turut berlangsung hari ini, Pameran Hawana 2024 di Atrium Utama, Plaza Merdeka yang menyediakan 20 reruai pameran pelbagai agensi berhubung perkhidmatan mereka selain memberi peluang kepada para pengunjung mendapatkan maklumat serta menyertai aktiviti disediakan.

Artikel Berkaitan:

Pengunjung Pameran Hawana 2024 juga berpeluang melihat sendiri peralatan klasik seperti kamera, radio, alat rakaman, kamera video selain sejarah penubuhan media di Sarawak.

Pada sebelah malam, Fahmi akan melancarkan Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) yang dianggotai 14 kelab-kelab media negeri iaitu Kelab Media Putrajaya, Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA), Kelab Media Elit Kedah (KMEK), Federation of Sarawak Journalists Association (FSJA), Kelab Media Kuala Lumpur & Selangor dan Kelab Media Johor (KMJ).

Selain itu Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT), Kelab Media Negeri Sembilan (MANIS), Kelab Media Pahang (Media Pahang), Persatuan Wartawan Perlis (PWP), Kelab Media Perak (KMP), Sabah Journalist Association (SJA), Kelab Media Mutiara Pulau Pinang (MUTIARA) dan Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI).

GKMM antara lain bermatlamat untuk menyatukan semua kelab media di negeri menjadi satu badan induk di peringkat kebangsaan dan menyuarakan pandangan, pendapat serta kepentingan ahli yang terdiri daripada pengamal media kepada kerajaan, agensi serta pihak berkaitan.

Hawana 2024 disertai kira-kira 1,000 pengamal media dari lebih 11 negara iaitu Kemboja, Indonesia, Jepun, Kuwait, Brunei, Filipina, Timor-Leste, Vietnam, China, Korea Selatan dan Qatar. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!