Pengurusan lapangan terbang diminta tingkat keselamatan

Wan Muhammad Azri Wan Deris atau dikenali Papagomo (berdiri tengah) disambut rakan-rakannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). -Foto Facebook Papagomo
Wan Muhammad Azri Wan Deris atau dikenali Papagomo (berdiri tengah) disambut rakan-rakannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). -Foto Facebook Papagomo
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia Airports Holdings Bhd diminta meningkatkan kawalan keselamatan susulan kekecohan yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) malam tadi.

Gesaan itu dilontarkan Ketua Pemuda Umno Sabah, Ir Abdul Aziz Julkarnain yang turut memohon pihak pengurusan lapangan terbang berkenaan memberi jaminan perkara seperti itu tidak berulang.

"Orang awam akan hilang kepercayaan kepada keselamatan mereka jika rusuhan dan keganasan seperti ini dibiarkan berlaku seperti negara ini tidak ada undang-undang," katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum itu, perkarangan balai pelepasan KKIA kecoh seketika dengan insiden Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau dikenali Papagomo cuba diserang oleh sekumpulan lelaki.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 itu, Wan Muhammad Azri dikatakan dihampiri lebih 10 lelaki tidak dikenali ketika beliau dalam perjalanan pulang ke semenanjung.

Insiden tersebut berlarutan dengan sekumpulan lelaki itu cuba bertindak agresif dan berlaku adengan tolak menolak sebelum dileraikan pihak polis.

Beberapa video turut diambil oleh orang awam itu yang secara kebetulan berada di KKIA, sebelum tular di laman sosial sejak malam tadi.

Merujuk kejadian itu, Ir Abdul Aziz turut memohon agar pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM)mengambil tindakan tegas terhadap individu-individu yang terlibat kerana ia melibatkan kepentingan awam.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimana boleh berlaku rusuhan dan keganasan di dalam 'airport' yang sepatutnya keselamatan menjadi keutamaan," soalnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Papagomo buat laporan polis, beliau 'diserang' di KKIA

Terdahulu, Wan Muhammad Azri dikatakan menyertai rombongan Pemuda UMNO dari Semenanjung tiba di KKIA untuk berlepas ke Kuala Lumpur sekitar jam 8 malam tadi.

Exco Pemuda UMNO itu berada di Sabah untuk berkempen dan membantu calon Barisan Nasional (BN) di PRK Kimanis.

Sementara itu, menerusi catatat Wan Muhammad Azri di Facebooknya memaklumkan bahawa beliau selamat tiba di Kuala Lumpur dan tidak menyalahkan orang Sabah berhubung insiden kekecohan itu.

"Alhamdulillah, saya dah sampai KL (Kuala Lumpur). Saya nak minta kepada semua agar tidak salahkan orang Sabah."

"Isteri saya orang Sabah, call saya menangis minta maaf kerana saya dipukul. Saya cakap bukan salah orang Sabah dan tak perlu minta maaf," katanya.