Polis nafi sahkan laporan Faisal Halim pandu Vellfire ketika disimbah asid

Razarudin. Foto Bernama
Razarudin. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menegaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah mengesahkan laporan berhubung kenderaan dinaiki Faisal Halim adalah Toyota Vellfire sewaktu kejadian simbah asid.

Beliau berkata, laporan yang tular tersebut tidak mempunyai pengesahan daripada mana-mana pihak polis yang bertangungjawab dalam menjalankan siasatan kes yang menimpa penyerang Selangor FC itu 5 Mei lalu.

Kata beliau, PDRM sebelum ini ada memaklumkan kejadian berlaku apabila Faisal berjalan menuju ke arah kenderaan miliknya.

"Kita sama sekali tidak pernah ada keluarkan kenyataan kereta digunakan Toyota Vellfire, mahupun daripada saya (KPN), Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain atau Ketua Polis Selangor (Datuk Hussein Omar Khan).

"Yang didedahkan sebelum ini adalah Faisal sedang berjalan ke arah keretanya dan suspek dipercayai menunggang motosikal.

“Jadi tidak timbul isu bercanggah laporan dikeluarkan polis. Ia dilaporkan media, tidak tahu sumber mereka daripada mana," katanya pada Jumaat.

Sehubungan itu, Razarudin mengingatkan semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes terbabit.

Tegas beliau, sumber yang sah hanya daripada pihak polis dan sekiranya terdapat apa-apa maklumat PDRM akan kongsikan kepada media.

Artikel Berkaitan:

Pada Khamis, tular satu rakaman litar tertutup kejadian simbah asid membabitkan Faisal di sebuah pusat beli-belah.

Video tular itu memaparkan seorang lelaki yang memakai topi dan bahagian muka dilindungi kain dalam keadaan berdiri berada di antara beberapa kenderaan lain.

Lelaki itu kemudian meluru ke arah Faisal dan menyimbah cecair daripada botol dipegangnya.

Kejadian itu juga disaksikan beberapa individu berhampiran selain wanita dipercayai isteri Faisal.

Ketika kejadian itu turut dilihat seorang lelaki bermotosikal dipercayai seorang lagi suspek yang menunggu berhampiran kenderaan Faisal iaitu jenis BMW.

Susulan itu, polis membuka siasatan bagi mengesan pihak yang menyebarkan video rakaman CCTV tersebut untuk tindakan mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Rata-rata netizen mempersoalkan kenderaan yang digunakan Faisal sebelum ini ekoran terdapat laporan mendakwa jenis Toyota Vellfire.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!