CCTV dipercayai rakaman insiden Faisal Halim disimbah asid tular

Tangkap layar tindakan suspek dipercayai menyimbah asid kepada Faisal.
Tangkap layar tindakan suspek dipercayai menyimbah asid kepada Faisal.
A
A
A

SHAH ALAM - Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dipercayai kejadian simbah asid yang dilakukan suspek terhadap pemain Selangor FC, Faisal Halim di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, 5 Mei lalu, tular di media sosial.

Dalam rakaman berdurasi 56 saat itu didapati seorang lelaki yang memakai topi dan bahagian muka dilindungi kain dalam keadaan berdiri berada di antara beberapa kenderaan lain.

Lelaki itu berada berhampiran Faisal yang dipercayai berada di luar keretanya.

Selang beberapa saat, lelaki itu meluru dan terus menyimbah cecair daripada botol dipegangnya beberapa kali.

Kejadian itu juga disaksikan beberapa individu berhampiran selain wanita dipercayai isteri Faisal.

Pemerhatian Sinar Harian pada video tular itu juga dikesan terdapat seorang lelaki bermotosikal turut berada berhampiran Faisal.

Selepas menyerang Faisal, suspek terbabit kemudian terus melarikan diri ke arah rakannya yang menunggu di motosikal sebelum terus memecut laju motosikal terbabit.

Setakat ini, kesahihan video tersebut tidak dapat dipastikan dan Sinar Harian sedang mendapatkan pengesahan pihak polis.

Artikel Berkaitan:

Ahad lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan pihaknya telah mengedarkan fotofit atau lakaran wajah dipercayai suspek terbabit serangan asid itu dan meminta orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat berkaitan individu berkenaan diminta tampil bagi membantu mengesan suspek yang menyerang pemain kebangsaan itu.

Suspek dianggarkan berusia 30-an, berketinggian 165 sentimeter (cm), tubuh bersaiz sederhana dan kulit sawo matang.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan Undang-undang (D5), Inspektor Jagachandaran Murugesen di talian 0125848166 atau 0322666071.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Faisal yang juga pemain sayap pasukan kebangsaan itu mengalami melecur tahap empat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!