Isu hak 40 peratus Sabah: 18 Jun keputusan rayuan kerajaan Persekutuan

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

KOTA KINABALU - Mahkamah Rayuan di sini menetapkan 18 Jun untuk keputusan rayuan Kerajaan Persekutuan terhadap kebenaran diperoleh Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) untuk meneruskan semakan kehakiman melibatkan isu hak 40 peratus hasil Sabah.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Ravinthran N. Paramaguru, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Datuk Dr Choo Kah Sing menetapkan tarikh itu semasa pengurusan kes yang diadakan secara dalam talian, hari ini.

Kerajaan Persekutuan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, pada 11 November 2022, yang memberi kebenaran kepada SLS meneruskan semakan kehakiman berhubung perkara itu bagi memaksa hasil persekutuan diperoleh daripada negeri itu dipulangkan seperti peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Pada 11 November 2022, Hakim Mahkamah Tinggi Ismail Brahim membenarkan permohonan SLS bagi mendapatkan kebenaran bagi meneruskan semakan kehakiman bahawa ia mempunyai locus standi untuk berbuat demikian kerana ia adalah litigasi berkepentingan awam.

Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memperoleh perintah penangguhan bagi menghalang Mahkamah Tinggi mendengar merit kes itu sementara menunggu rayuan.

SLS memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 2022 bagi membatalkan warta Kerajaan Persekutuan mengenai geran tahunan sebanyak RM125.6 juta untuk Sabah dengan mendakwa ia melanggar hak hasil negeri itu di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Nor Asiah Mohd Yusof berkata beliau hadir bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah dalam prosiding bersama Penasihat Undang-undang Khas kepada Ketua Menteri Datuk Brenndon Keith Soh, peguam negeri kerajaan negeri, Devina Teo dan Roland Alik.

"Mahkamah Rayuan dumaklumkan bahawa Tetuan F.T. Ahmad & Co tidak lagi bertindak mewakili kerajaan Negeri Sabah dan Jabatan Peguam Besar Negeri telah mengambil alih sepenuhnya pengendalian dan pengurusan perkara itu,”katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Nor Asiah berkata, setelah meneliti dan mengkaji perkara ini serta prosiding yang telah berlangsung, Mahkamah Rayuan dimaklumkan mengenai beberapa pendirian berikutnya oleh Kerajaan Negeri.

Menurutnya memandangkan Kerajaan Negeri tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi bertarikh 11 Nov 2022, Kerajaan Negeri menerima keputusan kebenaran diberikan untuk perkara ini dibahaskan berdasarkan merit dalam perbicaraan substantif permohonan semakan kehakiman.

Di samping itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri menarik balik semua hujahan yang dibuat di Mahkamah Rayuan berhubung isu ‘locus standi’ SLS kerana isu ini tidak dikemukakan atau dihujahkan di Mahkamah Tinggi oleh Kerajaan Negeri.

Katanya, Kerajaan Negeri menarik balik semua hujahan di Mahkamah Rayuan dengan merujuk kepada Artikel 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan sebagai áspirasi’ dan bukan hak mandatori atau mutlak Negeri Sabah.

Nor Asiah berkata Mahkamah Rayuan telah merekodkan semua pendirian tersebut.

"Saya memberi jaminan kepada rakyat Sabah bahawa Jabatan Peguam Besar Negeri komited sepenuhnya dan berpenditrian teguh dalam mempertahankan hak-hak perlembagaan Negeri Sabah seperti termaktub dalam MA63 dan Perlembagaan Persekutuan,”katanya. - Bernama