Melaka terima dua artifak dipercayai peninggalan Hang Tuah

Ab Rauf (tengah) menunjukkan Keris Sundang yang dipercayai kepunyaan Laksamana Hang Tuah yang diwarisi turun temurun sejak kira-kira 600 tahun lepas. Foto Bernama
Ab Rauf (tengah) menunjukkan Keris Sundang yang dipercayai kepunyaan Laksamana Hang Tuah yang diwarisi turun temurun sejak kira-kira 600 tahun lepas. Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Kerajaan Melaka menerima dua artifak iaitu Keris Sundang dan sepasang Keris Hukum dipercayai kepunyaan Laksamana Hang Tuah yang diwarisi turun-temurun sejak kira-kira 600 tahun lepas.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, artifak berkenaan diterima daripada Tun Muhammad Amin Tun Ahmad iaitu waris ke-11 Hang Tuah yang berasal dari Kepulauan Bintan, Riau di Indonesia.

"Keris Sundang itu dipercayai peninggalan Hang Tuah dan merupakan hadiah daripada Tun Perak yang juga bapa mentuanya. Hulu keris itu juga diperbuat daripada perak yang melambangkan anugerah Tun Perak kepada menantunya itu.

"Artifak kedua pula merupakan sepasang Keris Hukum atau keris sula yang dititahkan oleh sultan kepada bendahara untuk dijatuhkan hukuman iaitu satu digunakan untuk lelaki dan satu untuk wanita," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Keris Sundang dan sepasang Keris Hukum dipercayai kepunyaan Laksamana Hang Tuah yang diwarisi turun temurun sejak kira-kira 600 tahun lepas. Foto Bernama
Keris Sundang dan sepasang Keris Hukum dipercayai kepunyaan Laksamana Hang Tuah yang diwarisi turun temurun sejak kira-kira 600 tahun lepas. Foto Bernama

Terdahulu Ab Rauf menerima penyerahan dua artifak itu daripada Tun Muhammad Amin dalam satu majlis ringkas di sebuah hotel di Ayer Keroh di sini dan turut dihadiri Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Menurut Ab Rauf, penyerahan artifak itu adalah sebahagian daripada warisan bersejarah untuk tatapan rakyat di negeri itu khususnya generasi muda bagi memahami sejarah dan kehebatan pahlawan Melayu itu dalam era kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka.

"Tentunya artifak kepunyaan Laksamana Hang Tuah yang kita terima daripada waris ke-11 Hang Tuah ini bakal menjadi tarikan utama sempena Pameran Hang Tuah yang bakal berlangsung selama sebulan pada Jun ini sempena Tahun Melawat Melaka 2024,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sempena pameran itu juga beberapa artifak peninggalan sejarah Hang Tuah dari Okinawa, Jepun selain India dan Turkiye akan turut dipamerkan.

Peninggalan kesan sejarah itu juga, katanya dapat membuktikan pengembaraan dan pelayaran Hang Tuah dan meyakinkan beliau adalah seorang yang lahir di bumi Melaka sejak kurun ke-14. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!