Pewaris keris dipercayai milik Hang Tuah pernah ditawar RM1 juta

Dua artifak iaitu Keris Sundang dan sepasang Keris Hukum dipercayai kepunyaan Laksamana Hang Tuah yang diwarisi turun temurun sejak kira-kira 600 tahun lepas. Foto Bernama
Dua artifak iaitu Keris Sundang dan sepasang Keris Hukum dipercayai kepunyaan Laksamana Hang Tuah yang diwarisi turun temurun sejak kira-kira 600 tahun lepas. Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Walaupun pernah ditawarkan harga lumayan hingga mencecah angka RM1 juta, pewaris Keris Sudang dan Keris Hukum berusia kira-kira 600 tahun yang dipercayai milik Laksamana Hang Tuah berkata, beliau tidak pernah terfikir untuk menjual artifak warisan keluarga yang baginya tidak ternilai harganya itu.

Tun Muhammad Amin Tun Ahmad, 49, yang mengaku sebagai waris ke-11 pahlawan Melayu tersohor itu berkata, beliau dan keluarganya pernah dikunjungi pihak yang cuba mendapatkan beberapa artifak yang dimiliki seperti Meriam Rentaka, namun mereka tidak pernah berniat untuk menjualnya.

"Ia peninggalan yang diwarisi turun-temurun, ia amat besar nilainya berbanding wang," kata beliau yang berasal dari Kepulauan Bintan, Riau di Indonesia kepada pemberita di sini.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (kiri) menunjukkan Keris Sundang yang dipercayai kepunyaan Laksamana Hang Tuah yang diserahkan Tun Muhammad Amin Tun Ahmad (kanan) iaitu waris ke-11 Hang Tuah yang berasal dari Kepulauan Bentan Riau Indonesia dalam satu majlis di sini pada Selasa. Foto Bernama

Dua artifak itu diserahkan kepada Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh untuk dijadikan salah satu bahan menarik bagi tatapan orang ramai di Pameran Hang Tuah yang dijadualkan berlangsung di sini pada bulan Jun ini.

Sementara itu, Tun Muhammad Amin berkata, bagi Pameran Hang Tuah nanti selain keris, ada beberapa lagi peninggalan lain antaranya gelang, buku catatan dan salasilah keluarga, juga akan dipinjamkan untuk dipamerkan kepada orang ramai di pameran itu nanti. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!