Pemangku Raja Perlis cadang Enakmen Jenayah Dalam Syarak 1991 dikaji semula

Tuanku Syed Faizuddin. Foto Bernama
Tuanku Syed Faizuddin. Foto Bernama
A
A
A

KANGAR - Jabatan Pendakwaan Syariah Perlis dicadangkan untuk mengkaji peruntukan Enakmen Jenayah Dalam Syarak 1991, bagi membuat penambahbaikan terhadap enakmen itu.

Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, antara aspek yang perlu dikaji ialah mewujudkan seksyen baharu bagi menjadikan perbuatan suami mengabaikan kewajipan nafkah kepada isteri dan anak-anak serta perbuatan meninggalkan isteri dan anak-anak tanpa khabar, sebagai satu kesalahan.

"Selain itu, yang tidak adil dalam berpoligami, pihak ketiga yang mengganggu dan memecahbelahkan perkahwinan dan lain-lain yang bersesuaian di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah,” titah baginda dalam satu kenyataan malam ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian selepas berangkat mempengerusikan Persidangan MAIPs Bilangan ke-3 Bagi Tahun 2024, di sini semalam.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah perkara itu bertujuan untuk memantapkan lagi sistem kekeluargaan di Perlis, sekali gus memantapkan sistem perundangan syariah di negeri itu.

"Bagaimanapun, penelitian perlu dibuat bagi mengenal pasti jika terdapat apa-apa halangan undang-undang dan keadilan, sebelum apa-apa pindaan dibuat,” titah baginda. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: