Sidang DUN tidak bahas Enakmen Jenayah Syariah 1992

Mohammad Zahir (tengah) menunjukkan teks sempena Sidang DUN Perak yang akan bermula pada Jumaat depan.
Mohammad Zahir (tengah) menunjukkan teks sempena Sidang DUN Perak yang akan bermula pada Jumaat depan.
A
A
A

IPOH - Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang akan berlangsung pada 23 Februari ini tidak akan membahaskan sebarang usul luar biasa termasuk Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992.

Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, sebarang pindaan terhadap undang-undang berkaitan hal ehwal agama Islam perlu mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah terlebih dahulu.

"Kalau tidak melihatkan hal-hal berkaitan agama Islam dan adat Melayu, kita boleh bawa terus ke DUN. Jika melibatkan apa-apa perkara berkaitan agama Islam, ada jawatankuasa di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

"Selepas dibincangkan di Persidangan MAIPk barulah dibawa ke DUN dengan perkenan Sultan Perak mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak," kepada pemberita di Bilik Sidang Media DUN Perak, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai Enakmen Jenayah Syariah Negeri susulan keputusan Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah, Jumaat minggu lalu.

Dalam perkembangan lain, Mohammad Zahir berkata, Sultan Nazrin berkenan mencemar duli pada Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama, Tahun Kedua, DUN ke-15.

"Usul menyembah ucapan tahniah serta menjunjung kasih atas penzahiran titah Sultan Perak akan dibawa dan dibentangkan oleh Menteri Besar pada 26 Februari.

"Seramai 47 Ahli Dewan Negeri akan diberikan peluang untuk berbahas berkaitan usul tersebut iaitu 21 Ahli Yang Berhormat Kerajaan dan 26 Ahli Yang Berhormat Pembangkang termasuk Ketua Pembangkang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, sesi penggulungan oleh Exco kerajaan negeri dijadualkan berlangsung pada 28 Februari 2024 manakala sesi untuk menteri besar dijadualkan akan berlangsung pada 29 Februari.