Rundingan Akta 672 di Pulau Pinang tangguh, KPKT teliti implikasi kewangan - Exco

GEORGE TOWN - Rundingan tentang cadangan pengambilalihan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di Pulau Pinang di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 [Akta 672] di Pulau Pinang masih belum dimuktamadkan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, H’ng Mooi Lye berkata, hal itu berikutan keputusan Jemaah Menteri pada 29 April lepas untuk menangguhkan kajian dan rundingan berkenaan.
Beliau berkata, penangguhan itu bertujuan memberikan ruang kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meneliti semula implikasi kewangan kepada kerajaan Persekutuan dengan mengambil kira keadaan ekonomi semasa serta kenaikan harga minyak dunia.
"Pelaksanaan Akta 672 di Pulau Pinang akan diselaraskan dengan hala tuju baharu peluasan akta tersebut yang sedang dihalusi oleh KPKT.
"Kerajaan negeri akan memastikan sebarang cadangan pelaksanaan Akta 672 di Pulau Pinang diteliti secara menyeluruh, khususnya dari aspek implikasi kewangan dan mutu perkhidmatan kepada penduduk,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini, Khamis.
Beliau menjawab soalan Lee Khai Loon (PH-Machang Bubuk) berhubung kronologi serta keputusan kerajaan berkaitan dengan penerimaan pakai akta tersebut serta faktor yang menyebabkan rundingan dengan KPKT dan SWCorp berlarutan serta keputusan masih belum dimuktamadkan.
Mooi Lye berkata, rundingan dengan kerajaan Persekutuan mengambil kira keperluan memastikan kos pengurusan sisa pepejal tidak membebankan kerajaan negeri dan penduduk, di samping mengekalkan standard perkhidmatan yang sedia ada atau lebih baik.
Beliau berkata, proses rundingan bermula pada 28 Februari 2024 apabila Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) diundang untuk membentangkan cadangan berkenaan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri.
Mooi Lye berkata, MMK Negeri kemudiannya bersetuju supaya rundingan diadakan bagi mempertimbangkan penerimaan pakai akta tersebut, namun keputusan akhir tertakluk pada hasil rundingan dan kelulusan MMK Negeri.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, katanya, turut menetapkan beberapa prasyarat yang perlu dirundingkan terlebih dahulu antara kerajaan negeri dengan KPKT bagi pemakaian Akta 672 termasuk kerajaan negeri mempunyai kata putus untuk menentukan syarikat konsesi yang melaksanakan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.
Mooi Lye berkata, beberapa siri mesyuarat, bengkel dan perbincangan antara pihak berkuasa negeri (PBN) dengan SWCorp juga telah diadakan secara berkala bagi membincangkan dan merundingkan syarat-syarat serta penerimaan pemakaian Akta 672 di Pulau Pinang.
Akta 672 diguna pakai di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Putrajaya, Kedah, Perlis dan Pahang dengan Selangor menjadi negeri baharu yang menerima akta itu dalam meningkatkan kecekapan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di negeri berkenaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
